Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Individu yang diburu selepas dipercayai mencederakan seorang anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi di sebuah premis cuci kereta di Bangsar, Rabu lalu, dikenal pasti mempunyai rekod jenayah dan dadah.Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, suspek yang merupakan lelaki Melayu berusia 46 tahun itu telah dikenal pasti dan kini sedang diburu pihak polis."Pasukan operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan lanjut."Suspek mempunyai rekod jenayah lampau serta berkaitan dadah dan usaha mengesannya sedang dipergiatkan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, setakat ini empat saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut."Kesemua saksi terdiri daripada tiga rakan sekerja pengadu serta seorang pekerja premis cuci kereta berkenaan," katanya.Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pegawai AADK cedera di tangan selepas dihiris dengan pisau oleh seorang lelaki ketika menjalankan operasi di premis berkenaan.Dalam kejadian kira-kira jam 5.08 petang itu, mangsa berusia 48 tahun mengalami kecederaan pada tapak tangan kanan dan ibu jari kanan.Hoo berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada rakan sekerja mangsa yang juga petugas AADK.Menurutnya, suspek pada mulanya ditahan dan diarahkan menjalani ujian saringan air kencing, namun enggan memberikan kerjasama sebelum bertindak agresif untuk melarikan diri.
Go to News Site