Sinar Harian
SETIU – Seorang nelayan maut selepas bot gentian kaca yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi bot dalam kejadian di muara Kuala Sungai Mangkok, di sini pada pagi Sabtu.Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa, Mohd Adli Zakaria, 53, disahkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri akibat rempuhan tersebut.Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa bot jenis gentian kaca yang dikemudi pengadu, Tengku Anuar Tengku Mohamed, 55, dalam perjalanan keluar dari Jeti Kampung Baru Penarik untuk memukat udang."Apabila sampai di lokasi kejadian, bot yang dinaiki mangsa bersama pengadu dipercayai telah berlanggar dengan sebuah lagi bot jenis gentian kaca yang datang dari arah bertentangan."Akibat perlanggaran itu, mangsa yang duduk di bahagian hadapan bot tercampak dan terkena bahagian dek hadapan bot."Mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa balik ke Jeti Kampung Baru Penarik oleh pengadu," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.Mohd Zain berkata, pemeriksaan pada bot sepanjang 5.7 meter itu mendapati terdapat kesan pecah dan kerosakan di bahagian hadapan sebelah kanan, manakala sebuah lagi bot sepanjang 6 meter hanya mengalami kesan calar.Menurutnya, pegawai perubatan dari Hospital Setiu yang tiba di lokasi berkenaan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia."Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat."Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan pihak polis juga telah memaklumkan kejadian tersebut kepada Pusat Kawalan Kawasan (CCC), Maritim Malaysia dan Jabatan Laut untuk tindakan lanjut," katanya.
Go to News Site