Sinar Harian
KUANTAN – "Ayah ada beritahu ibu, kali ini dia rasa takut dan berdebar sedikit untuk pergi mencandat, tak seperti sebelum ini."Demikian kata Nor Hidayah Mohd Ishak, 36, anak ketiga kepada Mohd Ishak Ismail, 63, yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya ditemui terdampar di pesisir Pantai Sepat di sini pada Khamis.Sebelum kejadian, mangsa yang juga pesara kontraktor itu dikatakan keluar bersendirian dari rumahnya di Taman Beserah Ria kira-kira jam 10 pagi Rabu untuk mencandat sotong.Hidayah berkata, perubahan sikap bapanya itu disedari ibunya sebelum mangsa keluar ke laut."Ibu sempat bertanya mengapa ayah takut, sedangkan sebelum ini dia memang tak pernah takut. Malah ayah pandai menyelam dan pernah terjatuh dari perahu sebelum ini."Ketika itu, dia masih mampu menyelamatkan diri dengan menyelam, malah tahu cara putuskan tali yang terikat serta kembali ke permukaan," katanya ketika ditemui di Pantai Sepat di sini pada Sabtu.Bercerita lanjut, Nor Hidayah berkata, kali terakhir dia bertemu bapanya adalah pada Selasa di rumah mereka.Jelasnya, walaupun mereka jarang berbual panjang, bapanya ada menyatakan hasrat untuk mencandat sotong dan sempat mengajaknya untuk turut serta."Ayah ajak saya ikut sekali, tetapi disebabkan ahli keluarga lain tak dapat pergi, saya tak dapat ikut seorang diri. Kalau tak, memang selalunya saya akan teman ayah ke laut."Biasanya kami pergi pada waktu pagi dan pulang pada waktu petang, malah pernah sekali sahaja bermalam di laut."Namun selepas itu saya tidak sanggup lagi kerana keadaan gelombang yang sangat kuat pada waktu malam," katanya yang tetap menaruh keyakinan bapanya itu selamat.Sementara itu, menantu mangsa, Mohd Ridzuan Mat Yusof, 40, mengakui terkilan kerana tidak berkesempatan menemani lelaki itu ke laut."Rasa sangat ralat kerana ketika ayah ajak itu, saya tidak dapat memenuhi pelawaan kerana urusan kerja. Namun saya sedar semua ini adalah takdir dan kami sekeluarga perlu menerima seadanya."Ayah memang seorang yang kental dan sangat mahir berenang. Dia sudah biasa dengan laut sejak usia 20-an lagi," jelasnya.Mohd Ridzuan berkata, mangsa sepatutnya pulang ke jeti pada pagi Khamis selepas bermalam di laut.Ujarnya, dia menerima panggilan daripada adik ipar yang memaklumkan bot bapa mentuanya ditemui terdampar di pesisir Pantai Sepat."Apa yang membimbangkan, hanya bot dan barang peribadi sahaja ditemui, manakala ayah tiada di situ."Harapan saya cuma satu, biarlah ayah segera ditemui dalam apa jua keadaan sekalipun," katanya.Sementara itu, Penolong Penguasa Kanan Bomba, Norhasmi Mat Taib @ Mat Amin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga dengan kekuatan lapan anggota termasuk tiga Pegawai Penyelamat Di Air (PPDA).Menurutnya, operasi pencarian hari ini dijalankan dalam jarak sekitar empat kilometer dari pesisir pantai."Kita juga menggunakan sebuah bot aluminium dan pencarian dilakukan secara rondaan berkala mengikut sektor yang telah ditetapkan," jelasnya.
Go to News Site