Collector
KPDN dedah 6 modus operandi ketirisan barangan kawalan seluruh negara | Collector
KPDN dedah 6 modus operandi ketirisan barangan kawalan seluruh negara
Sinar Harian

KPDN dedah 6 modus operandi ketirisan barangan kawalan seluruh negara

PASIR MAS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenal pasti enam modus operandi utama yang menyebabkan berlakunya ketirisan barang kawalan termasuk petrol dan diesel di seluruh negara.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, modus operandi tersebut dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) yang diaktifkan pada 11 Mac lalu dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.Menurut beliau, modus operandi pertama melibatkan penyelewengan oleh pemegang lesen barang kawalan berjadual (CSA) sendiri sama ada di peringkat depoh, stesen minyak atau fasiliti penyimpanan."Kedua ialah penyelewengan oleh pihak ketiga yang memperoleh bekalan namun tidak menyalurkannya mengikut saluran sah."Terdapat pihak bukan pemegang lesen CSA membeli bahan api dalam kuantiti besar secara berulang, menyimpannya tanpa lesen sebelum menjual kepada pihak lain termasuk bagi kegunaan tertentu seperti subsidi nelayan," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi penguatkuasaan di stesen minyak sempadan dan pemantauan di pangkalan haram Ajib, To’ Deh, Rantau Panjang di sini pada Sabtu.Armizan berkata, modus operandi ketiga melibatkan aktiviti bunkering yang dikesan mempunyai unsur salah laku, sekali gus memerlukan kawal selia lebih khusus dan sedang diteliti bersama Kementerian Pengangkutan (MOT)."Keempat, kami mengenal pasti kegiatan memproses semula bahan petroleum di kawasan perairan melalui kaedah percampuran pelbagai jenis bahan api termasuk yang bersubsidi sebelum dijual semula ke pasaran."Kelima ialah pemalsuan dokumen pembelian termasuk memanipulasi jumlah liter bahan api bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.Menurutnya, modus operandi keenam pula melibatkan kegiatan penyorokan bekalan sebelum dijual di pasaran gelap termasuk kepada sektor industri pada harga lebih tinggi.Beliau berkata, kesemua taktik itu dikenal pasti hasil pemantauan bersepadu agensi penguat kuasa termasuk di bawah pelaksanaan Ops Tiris yang kini diperkasakan kepada Ops Tiris 4.0 secara bersepadu merentasi pelbagai agensi penguatkuasaan.Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan, di samping tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Go to News Site