Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik hari ini.Ucapan takziah itu dikongsikan menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.Liong Sik, 83, yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA meninggal dunia pagi ini.Bekas Presiden MCA itu antara tokoh veteran politik paling lama berkhidmat dalam Kabinet termasuk memegang portfolio Menteri Pengangkutan, selain menerajui MCA selama 17 tahun.Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook juga, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dedikasi, kepimpinan serta komitmen mendiang Liong Sik dalam kerajaan akan sentiasa dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.Fahmi turut merakamkan ucapan takziah kepada Toh Puan Ong Ee Nah serta seluruh ahli keluarga bekas Presiden MCA itu atas pemergian seorang tokoh politik yang disifatkan amat berjasa kepada negara.Beliau berkata, mendiang memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Malaysia sepanjang hayatnya, termasuk ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Penerangan dari 1976 hingga 1982."Semoga Toh Puan serta keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini," katanya. - Bernama
Go to News Site