Collector
Kepimpinan berhemah, komitmen pendidikan Liong Sik terus dikenang | Collector
Kepimpinan berhemah, komitmen pendidikan Liong Sik terus dikenang
Sinar Harian

Kepimpinan berhemah, komitmen pendidikan Liong Sik terus dikenang

SHAH ALAM – Kepimpinan berhemah dan sumbangan besar dalam pembangunan pendidikan menjadi legasi utama yang ditinggalkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang meninggal dunia pada Sabtu.Ketua Pengarang Kumpulan Media Chinese International Limited (MCIL) (Malaysia), Datuk Kuik Cheng Kang berkata, sepanjang pengamatannya sebagai wartawan, Liong Sik dikenali sebagai pemimpin yang tenang, tersusun dan penuh pertimbangan dalam setiap tindakan."Ketika saya bergelar wartawan, bilik berita sering menugaskan saya membuat liputan mengenai Ling Liong Sik. Ada masanya saya bertemunya pada waktu pagi dan sekali lagi pada sebelah petang."Saya juga pernah menunggu sepanjang hari di Kementerian Pengangkutan hanya untuk mendapatkan beberapa patah kata daripadanya berhubung sesuatu isu. Itulah era sebelum telefon bimbit, di mana untuk menemu bual beliau memerlukan kesabaran yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengesahkan bekas Menteri Pengangkutan itu meninggal dunia pada usia 83 tahun.Kongsi Cheng Kang, antara cabaran terbesar ketika menemu bual Liong Sik adalah gaya pertuturannya yang lembut dan tenang."Beliau tidak pernah bercakap tergesa-gesa, sebaliknya menyusun setiap ayat dengan cermat dan penuh pertimbangan, membuatkan setiap pendengar memberi tumpuan sepenuhnya. Ia mencerminkan keperibadian serta gaya kepimpinannya," ujarnya.Dalam aspek pendidikan beliau berkata, sumbangan terbesar Liong Sik terserlah menerusi peranannya sebagai Presiden Malaysian Chinese Association (MCA) yang berjaya memperkukuh Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT).Katanya, Liong Sik dianggap sebagai ‘bapa’ kepada institusi berkenaan kerana komitmennya memastikan universiti itu kekal bebas daripada pengaruh politik dan terus memberi tumpuan kepada penyediaan pendidikan berkualiti."Pendekatannya memastikan TAR UMT kekal dengan matlamat asalnya, iaitu membuka peluang pendidikan kepada masyarakat Cina dengan standard yang tinggi," tambah beliau.Menurut Cheng Kang lagi, dedikasi bekas Presiden MCA itu terhadap komuniti Cina turut terserlah melalui disiplin tinggi apabila setiap hari Selasa diperuntukkan untuk membuat persiapan menghadapi Mesyuarat Kabinet.Menurutnya, setiap kali timbul isu besar melibatkan masyarakat Cina atau bukan Bumiputera, bekas menteri itu akan mengetuai menteri MCA bertemu bekas Presiden Gerakan, Tun Dr Lim Keng Yaik dan bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu bagi membincangkan strategi bersama."Di bawah kepimpinannya, MCA dilihat penuh tenaga, kreatif serta sarat dengan pelbagai perancangan," katanya.Justeru, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada isteri mendiang, Toh Puan Ong Ee Nah."Seorang lagi tokoh negara yang unggul telah pergi meninggalkan kita. Semoga beliau bersemadi dengan aman," kongsinya lagi.

Go to News Site