Sinar Harian
PASIR MAS – Sebanyak RM14.9 juta nilai rampasan barangan kawalan termasuk membabitkan penyeludupan petrol dan diesel dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh kurang tiga bulan tahun ini.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rampasan dilakukan menerusi pelaksanaan Ops Tiris 3.0 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122)."Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 12,252 pemeriksaan dijalankan dengan 433 kes direkodkan."Dalam tempoh itu juga, seramai 120 individu ditahan," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi penguatkuasaan di stesen minyak sempadan Malaysia-Thailand serta pemantauan di Pangkalan Haram Ajib, To’ Deh, Rantau Panjang di sini pada Sabtu.Mengulas lanjut, Armizan berkata, penurunan nilai rampasan daripada RM91.5 juta pada tahun sebelumnya kepada RM81.6 juta tahun lalu menunjukkan keberkesanan kerjasama proaktif antara KPDN dan agensi penguat kuasa lain termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA)."Walaupun statistik kes menunjukkan penurunan dari 2024 ke 2025, kerajaan tidak mengambil mudah risiko ketirisan ini, khususnya dalam situasi ketidaktentuan bekalan global akibat konflik di Asia Barat."Justeru, penguatkuasaan dan pemantauan rantaian pengedaran akan terus diperkukuh bagi memastikan bekalan sampai kepada sasaran serta mengelakkan sebarang bentuk penyelewengan," katanya.Menurut beliau, kerajaan kini sedang menggerakkan pelan kontingensi bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara terus terpelihara."Fokus kami bukan sahaja memastikan kestabilan bekalan, malah memperketat kawalan serta pemantauan pengedaran bagi mengekang manipulasi barang kawalan," katanya.
Go to News Site