Sinar Harian
MALAYSIA terus mengukuhkan status sebagai antara destinasi pilihan dunia apabila 46 negara mengesahkan penyertaan pada pusingan terakhir Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, dari 24 hingga 26 April ini.Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menyifatkan jumlah penyertaan itu sebagai "sangat luar biasa" selepas 25 tahun menunggu untuk kembali menjadi tuan rumah kejohanan itu"Kalau saya tidak silap, hanya 32 negara menyertai Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Perth, Australia. Berdasarkan angka terkini, saya boleh beri jaminan 46 negara telah sahkan penyertaan di Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 Kuala Lumpur."Saya sangat bangga dengan pencapaian ini. Saya harap lebih ramai pelumba bersetuju untuk sertai kejohanan di Velodrom Nasional, Nilai nanti," katanya pada sidang media di sini hari ini.Setakat hari ini, 370 pelumba dan 160 pegawai telah mengesahkan penyertaan pada kejohanan itu.Amarjit berkata, pelumba tersohor yang telah mengesahkan penyertaan termasuk juara Sukan Olimpik lima kali, Harrie Lavreysen dari Belanda, Nicholas Paul (Trinidad & Tobago), Sebastien Vigier (Perancis), Luca Spiegel (Jerman) dan Danial Staniszewski (Poland).Selain pelumba antarabangsa, turut bakal mencuri tumpuan adalah jaguh negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.Sementara itu, Amarjit yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkata, majlis pembukaan kejohanan akan dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.Menyentuh tentang persiapan terkini kejohanan di Nilai, Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menegaskan semua pihak yang terlibat telah menunjukkan komitmen cemerlang dalam menjayakan kejohanan itu."Kejohanan ini akan menjadi satu detik bersejarah untuk sukan berbasikal negara dan rantau Asia. Kejohanan ini akan menjadi landasan utama untuk pusingan kelayakan mata temasya Sukan Olimpik 2028 yang diadakan di Los Angeles (Amerika Syarikat). Ini faktor yang sangat penting," katanya.Justeru, beliau berharap Mohd Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman' dan Muhammad Shah Firdaus masing-masing dapat menggandakan latihan untuk kekal cemerlang bertarung di halaman sendiri nanti.Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Berbasikal Trek ialah pada 2001. - Bernama-- BERNAMATAG: sukan, berbasikal trek, Piala Dunia Trek, PKBM, Amarjit Singh Gill
Go to News Site