Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pada Sabtu membuka tirai MATTA Fair April 2026 secara rasmi dari 3 hingga 5 April di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar selaku wakil Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, penganjuran MATTA Fair April 2026 edisi ke-58 antara yang terbesar pernah dilaksanakan di mana sebanyak 2,051 reruai dan 332 organisasi mengambil bahagian.Menurut beliau, ia termasuk 210 agensi pelancongan dan pengembaraan, selain organisasi pelancongan kebangsaan dan negeri, hotel, taman tema serta penyedia perkhidmatan, sekali gus menandakan keyakinan berterusan terhadap trajektori pertumbuhan industri tersebut.Jelasnya lagi, fokus utama MATTA adalah kekal pada usaha memperkukuh kepercayaan dan keyakinan dalam industri pelancongan."Hari ini, perjalanan adalah tentang jaminan dan mempercayai penyedia perkhidmatan yang tepat. Di MATTA, kami memberi penekanan besar dalam membina kepercayaan antara pelancong dan ahli berlesen kami."Apabila pengunjung berurusan dengan ahli MATTA, mereka berurusan bersama golongan profesional yang bertanggungjawab dan berwibawa serta mampu mengurus setiap aspek perjalanan daripada perancangan serta tempahan hingga sokongan di destinasi."Di sinilah letaknya nilai sebenar dan perkara seperti ini yang memberikan ketenangan fikiran kepada pelancong," katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian MATTA Fair April 2026, di sini.Pameran turut disokong rakan strategik MATTA antaranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selaku badan sokongan, RHB Bank Berhad sebagai rakan bank rasmi, Malaysia Aviation Group dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).Melihat ke hadapan, Nigel memaklumkan pihaknya turut menyelaras usaha dengan keutamaan pelancongan dalam negara, khususnya bagi menyokong kempen VM2026.Dengan sasaran pertumbuhan ketara dari sudut ketibaan pelancong antarabangsa dan hasil pelancongan di Malaysia, beliau berpendapat bahawa platform seperti MATTA Fair memainkan peranan penting dalam merancakkan perjalanan masuk dan keluar, di samping memperkukuh kesiapsiagaan serta kerjasama industri.Dalam pada itu, Raven Kumar berkata, Kerajaan Negeri Johor menyalurkan lebih RM143.84 juta sejak 2025 bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan, kemudahan awam dan aksesibiliti di seluruh negeri berkenaan.Kata beliau, ini bagi menyokong misi lebih besar di bawah Visit Johor 2026 yang mana pihaknya menyasarkan seramai 12 juta pelawat khususnya daripada pasaran domestik dan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia."Momentum ini amat positif. Berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, negeri ini merekodkan seramai 25 juta pergerakan pelawat asing pada 2025, dengan 3.95 juta dicatatkan setakat Februari lepas," ujarnya.Ketika ini, Johor dipilih sebagai destinasi kegemaran Malaysia manakala Macau destinasi kegemaran antarabangsa.
Go to News Site