Collector
MATTA Fair: Sia Sitok Sarawak 2026 tawar pakej percutian jimat 40 peratus | Collector
MATTA Fair: Sia Sitok Sarawak 2026 tawar pakej percutian jimat 40 peratus
Sinar Harian

MATTA Fair: Sia Sitok Sarawak 2026 tawar pakej percutian jimat 40 peratus

KUALA LUMPUR - Kempen Sia Sitok Sarawak 2026 secara rasminya dilancarkan dengan memperkenalkan promosi terhad khas buat pengunjung MATTA Fair April 2026 iaitu penjimatan sehingga 40 peratus bagi pakej percutian ke negeri tersebut.Bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), pengunjung berpeluang merasai sendiri kepelbagaian budaya negeri itu dan mendapatkan pakej percutian berbaloi di Pavilion Sarawak dari 3 hingga 5 April ini.Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Datuk Dennis Ngau berkata, pelancaran kempen tersebut bertujuan menggalakkan pelancong untuk meneroka Sarawak sambil menikmati tawaran perjalanan eksklusif yang disediakan oleh pengendali pelancongan profesional dan berlesen.Menurut beliau, inisiatif itu menekankan fokus berterusan Sarawak terhadap pasaran domestik, dengan menggalakkan rakyat Malaysia untuk meneroka destinasi tersebut melalui pengalaman pelancongan yang disusun rapi dan berbaloi.Jelasnya lagi, Sia Sitok Sarawak 2026 hadir pada waktu yang tepat iaitu menjadikan perjalanan lebih mampu milik dan mudah diakses, di samping membuka peluang menikmati pelbagai pengalaman di seluruh negeri."Pelancong domestik sentiasa menjadi teras kepada perkembangan pelancongan Sarawak dan sokongan kukuh mereka sejak beberapa tahun lalu menyumbang secara signifikan terhadap pertumbuhan stabil yang kita lihat hari ini."Ketika kita melangkah dalam Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), inisiatif seperti Sia Sitok Sarawak membolehkan STB berhubung secara langsung dengan pelancong dan menjemput mereka merasai pelbagai keunikan di Sarawak."Jadi, pengunjung MATTA Fair April 2026 boleh ambil peluang ini untuk menikmati penjimatan sehingga 40 peratus bagi pakej percutian Sarawak yang terpilih dengan tempoh perjalanan sah sehingga 15 Disember," katanya.Beliau berkata demikian ketika sidang media pelancaran kempen Sia Sitok Sarawak 2026 bertempat di Pavilion Sarawak, MATTA Fair April 2026, di sini pada Sabtu.Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Dr Sharzede Datu Haji Salleh Askor dan Pengerusi MATTA Chapter Sarawak, Oscar Choo Chon Foong.Promosi menampilkan lebih 80 pakej percutian yang disusun khas dengan kerjasama 17 pengendali pelancongan berlesen Sarawak di mana setiap satunya direka sebagai pengalaman perjalanan sekurang-kurangnya tiga hari dua malam (3H2M) menggabungkan penginapan, lawatan dan itinerari terpilih.Di Sarawak Selatan, Kuching menampilkan keunikan warisan, kemeriahan budaya serta akses yang mudah ke kawasan hidupan liar dan taman negara.Sarawak Tengah yang berpusat di Sibu pula memperkenalkan pengalaman menyusuri Sungai Rajang, lawatan ke rumah panjang tradisional dan interaksi budaya autentik.Sementara itu, Sarawak Utara membawa pengunjung dari bandar pesisir Miri ke tapak warisan UNESCO seperti Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah, selain keindahan tanah tinggi yang sejuk di Bario.Selain pakej pelancongan tersusun, pengunjung turut digalakkan merancang perjalanan selari dengan kalendar acara Sarawak di mana negeri itu menganjurkan lebih 110 acara sepanjang tahun ini.Antaranya, Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) 2026 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Jun depan di Kampung Budaya Sarawak.Diiktiraf sebagai antara festival muzik paling unik di Asia Tenggara, acara tersebut bakal menampilkan artis tempatan dan antarabangsa seperti Datuk M Nasir, The Commodores yang menampilkan Thomas McClary serta Incognito selain bengkel interaktif pada waktu siang serta pertukaran budaya berlatarbelakangkan hutan hujan Borneo.Selepas festival tersebut, lebih 70 acara lain akan terus berlangsung di seluruh negeri, merangkumi pelbagai pengalaman budaya, gaya hidup dan sukan.Sepanjang tiga hari MATTA Fair April 2026 berlangsung, pengunjung Pavilion Sarawak turut berpeluang merasai budaya Sarawak melalui pelbagai pameran interaktif.Antaranya termasuk persembahan muzik tradisional menggunakan sape dan seruling hidung, demonstrasi kraftangan secara langsung, sulaman keringkam, lukisan batik, sesi kuiz serta pemberian cenderamata.

Go to News Site