Collector
Tiada kelibat wakil UMNO pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah | Collector
Tiada kelibat wakil UMNO pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah
Sinar Harian

Tiada kelibat wakil UMNO pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah

KUALA NERUS – Tiada kelibat wakil daripada UMNO dilihat hadir pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang berlangsung di pekarangan kompleks sukan di sini, bermula Khamis.Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, pihaknya telah menghantar jemputan kepada semua wakil parti Melayu dalam negara, namun kehadiran tertakluk kepada kelapangan masing-masing.Beliau berkata, sesetengah pihak mungkin tidak dapat menghadirkan diri berikutan terikat dengan komitmen program parti yang telah dijadualkan lebih awal."Jika dilihat pada jemputan itu, kita menjemput wakil parti Melayu yang ada dalam negara ini. Cuma terpulang kepada mereka sama ada dapat hadir atau tidak."Ada yang memaklumkan tidak dapat hadir kerana bertembung dengan program parti mereka sendiri, jadi tidak mengapa. Asalkan kita sudah menghantar jemputan."Mungkin tidak berkesempatan dalam program ini, kita boleh bertemu pada masa lain dalam pertemuan majlis, perbincangan, mesyuarat dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas perasmian program tersebut di sini pada Sabtu.Mengulas mengenai penganjuran kali ini, Ahmad Samsuri berkata, ijtimak tersebut merupakan program berkala yang dilaksanakan bagi mengukuhkan perpaduan ummah."Ini adalah program berkala yang biasa kita laksanakan dari semasa ke semasa, tidak semestinya setiap tahun, dan kali ini merupakan penganjuran kali kelima."Terengganu dipilih menjadi tuan rumah dan objektif penganjuran ini saya rasa semua sudah sedia maklum," jelasnya.Menyentuh mengenai pengisian program tersebut, beliau berkata, acara kemuncak akan berlangsung malam ini dengan menampilkan kepimpinan daripada pelbagai latar belakang bagi berkongsi pandangan menerusi Pidato Penyatuan Ummah."Malam ini adalah pidato daripada wakil kepimpinan dalam negara kita, daripada pelbagai latar belakang."Kita memberi ruang kepada setiap kelompok untuk menyatakan pandangan dan ucapan mereka," katanya.Selain Ahmad Samsuri, lapan pemimpin yang terlibat dalam pidato tersebut ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya; dan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Go to News Site