Sinar Harian
IPOH – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mewakili Malaysia mengetuai misi Global Sumud Flotilla 2.0 ke Mesir bagi membantu melancarkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.Menurut beliau, keputusan itu dibuat susulan keperluan rundingan yang melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan Mesir dan Qatar selain berkait dengan penghantaran kontena bantuan berskala besar."Saya memang telah ambil keputusan tidak menghantar mana-mana wakil, namun kerana ia melibatkan kontena besar serta rundingan dengan kerajaan Mesir dan pihak Qatar, saya perlu minta seorang wakil kerajaan untuk memudahkan urusan," katanya ringkas kepada pemberita.Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Madani Rakyat di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Sabtu.Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.Anwar menjelaskan, melalui pelantikan Amirudin itu diharapkan proses rundingan dan penghantaran bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.Tambah beliau, situasi yang dihadapi rakyat di Gaza ketika ini amat kritikal dan memerlukan tindakan segera daripada pelbagai pihak.Semalam media melaporkan Amirudin akan mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta Delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 yang dijadual berangkat pada 5 April ini.Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa Amirudin diamanahkan dalam misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Go to News Site