Collector
Negara Teluk minta bantuan Malaysia runding dengan Iran - Anwar | Collector
Negara Teluk minta bantuan Malaysia runding dengan Iran - Anwar
Sinar Harian

Negara Teluk minta bantuan Malaysia runding dengan Iran - Anwar

IPOH – Malaysia memainkan peranan sebagai orang tengah dengan menyampaikan permintaan beberapa negara Teluk kepada Iran bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil susulan hubungan baik Malaysia dengan kedua-dua pihak termasuk Iran serta negara-negara Arab.Menurutnya, beberapa pemimpin negara Arab telah menghubunginya dan meminta Malaysia menyampaikan pandangan mereka kepada pemimpin tertinggi Iran dalam usaha mencari jalan damai."Dalam perbualan telefon dengan beberapa negara Arab, mereka minta saya sampaikan kepada Presiden Iran kerana mereka tahu hubungan Malaysia dengan Iran agak baik."Kita ambil pendekatan positif, kita sampaikan simpati kepada Iran, tetapi juga keprihatinan negara Arab supaya ketegangan ini tidak berlarutan dan ada usaha ke arah perdamaian," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Madani Rakyat di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Sabtu.Anwar berkata, Malaysia turut berhubung dengan beberapa negara termasuk Mesir, Turkiye dan Azerbaijan bagi mendapatkan pandangan serta mencari pendekatan terbaik untuk mengelakkan konflik terus memuncak.Tambahnya, Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi juga telah memberi jaminan untuk membantu Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laluan Rafah.Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan Malaysia antara negara yang lantang membantah serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran, meskipun tidak ramai negara berani berbuat demikian."Sebagai negara merdeka dan berdaulat, kita tidak tunduk kepada mana-mana kuasa asing. Kita nyatakan pendirian tegas menolak serangan tersebut dan mempertahankan kedaulatan Iran," ujarnya.Mengulas lanjut, Anwar berkata konflik berkenaan turut memberi kesan besar kepada ekonomi global termasuk peningkatan kos minyak dan gangguan rantaian bekalan dunia.Katanya, kerajaan kini giat mengambil pelbagai langkah termasuk mengadakan rundingan dengan negara luar serta pakar ekonomi bagi memastikan impak terhadap negara dapat diminimumkan.

Go to News Site