Collector
Krisis tenaga global: Kerajaan beri perhatian serius, cari jalan penyelesaian - Ahmad Zahid | Collector
Krisis tenaga global: Kerajaan beri perhatian serius, cari jalan penyelesaian - Ahmad Zahid
Sinar Harian

Krisis tenaga global: Kerajaan beri perhatian serius, cari jalan penyelesaian - Ahmad Zahid

BAGAN DATUK - Kerajaan memberikan perhatian dan fokus serius terhadap usaha penyelesaian krisis tenaga global bagi mengelak kesannya terus membebankan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Beliau berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memainkan peranan penting dalam perkara itu dengan mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi merangka langkah terbaik menangani situasi berkenaan.Menurutnya, kerajaan turut mendapatkan pandangan daripada pemain industri mengikut sektor bagi memastikan setiap keputusan yang diambil bersifat holistik dan praktikal."MTEN bermesyuarat setiap minggu dan memanggil peneraju industri untuk memberikan taklimat serta pandangan. Semua input ini diambil kira dalam merangka langkah penyelesaian yang akan dilaksanakan kerajaan," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026 Parlimen Bagan Datuk di Dewan Dato' Lope Hashim di sini pada Sabtu.Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Naib Presiden MIC, Tan Sri M Ramasamy serta beberapa pemimpin lain.Selain mesyuarat berkala, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan turut mengadakan taklimat harian bagi memastikan maklumat terkini dapat disalurkan kepada rakyat secara tepat dan berterusan.Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pihak agar tidak saling menyalahkan, sebaliknya bersama-sama menghadapi situasi tersebut dengan kesiapsiagaan tinggi."Kita tidak boleh berada dalam zon selesa kerana ini adalah krisis sebenar yang memerlukan tindakan bersama," katanya.Terdahulu, majlis sambutan Aidilfitri berkenaan dihadiri kira-kira 14,000 pengunjung yang mula hadir seawal jam 6.30 petang.

Go to News Site