Collector
Krisis Asia Barat tidak jejas ibadah haji | Collector
Krisis Asia Barat tidak jejas ibadah haji
Sinar Harian

Krisis Asia Barat tidak jejas ibadah haji

PUTRAJAYA - Krisis Asia Barat ketika ini tidak menjejaskan perjalanan ibadah haji musim 1447H/2026M dengan semua persiapan bagi jemaah Malaysia berjalan lancar hasil kerjasama erat antara Lembaga Tabung Haji (TH) dan pihak berkuasa Arab Saudi.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jaminan tersebut diperoleh hasil pertemuan rasmi bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi serta beberapa pihak berkaitan ketika lawatan kerja beliau ke Tanah Suci baru-baru ini.Menurutnya, kerajaan Arab Saudi memberi komitmen positif dalam memastikan kelancaran pengurusan haji tahun ini walaupun terdapat perkembangan geopolitik di rantau Asia Barat."Saya baru sahaja kembali dari Tanah Suci dan mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi serta delegasi antarabangsa. Alhamdulillah, semua persiapan haji berjalan dengan baik," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan.Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha TH yang menambah baik kemudahan asas jemaah termasuk peningkatan jumlah tandas di maktab di Arafah daripada sekitar 100 unit kepada lebih 600 unit bagi meningkatkan keselesaan jemaah Malaysia.Katanya, walaupun kemudahan tersebut dilihat kecil, ia sebenarnya memberi impak besar khususnya kepada jemaah wanita yang memerlukan tempoh penggunaan lebih lama."Sebelum ini tandas hanya sekitar 100 unit, tetapi kali ini ditambah kepada lebih 600 unit. Perkara ini nampak kecil tetapi sangat penting terutama bagi keselesaan jemaah," katanya.Selain itu, TH turut memperkenalkan inisiatif Haji Lestari yang memfokuskan kepada usaha memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar melalui program kitar semula kain ihram terpakai dalam kalangan jemaah haji.Melalui inisiatif berkenaan, kain ihram yang kebiasaannya ditinggalkan selepas musim haji akan dikumpul dan diproses semula bagi menghasilkan produk baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat di samping mengurangkan pembaziran tekstil.Program tersebut akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pengumpulan kain ihram di Tanah Suci melalui penyediaan lokasi khas di bangunan penginapan jemaah di Makkah dan kawasan perkhemahan Mina, diikuti proses kitar tinggi di Malaysia.Dalam perkembangan sama, seramai 31,600 bakal jemaah haji Malaysia kini mengikuti Kursus Perdana Haji yang berlangsung dari 3 hingga 12 April di beberapa masjid terpilih di seluruh negara sebagai persediaan akhir sebelum berlepas ke Tanah Suci.Kursus tersebut merupakan kesinambungan kepada Kursus Asas dan Kursus Intensif Haji yang bertujuan memperkukuh kefahaman jemaah mengenai manasik haji termasuk latihan praktikal ibadah seperti tawaf, saie dan melontar jamrah.Pada musim haji tahun ini, penerbangan jemaah Malaysia dijadualkan bermula dari 18 April hingga 20 Mei, manakala penerbangan pulang dijangka berlangsung dari 4 hingga 30 Jun.Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan bagi membawa kesemua jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan, mematuhi segala peraturan yang ditetapkan serta mengekalkan disiplin tinggi sepanjang berada di Tanah Suci.Menurutnya, reputasi baik jemaah haji Malaysia yang terkenal dengan disiplin dan kebersihan turut mendapat pengiktirafan antarabangsa dan menjadi contoh kepada negara lain dalam aspek pengurusan haji.Dengan pelbagai penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk peningkatan kemudahan asas serta pengenalan inisiatif kelestarian, TH optimis pengurusan haji musim ini akan terus berjalan lancar sekali gus memastikan kebajikan dan keselesaan jemaah Malaysia sentiasa menjadi keutamaan.

Go to News Site