Sinar Harian
KUANTAN – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang di perairan Pantai Sepat sejak Khamis lalu dipergiatkan lagi dengan penglibatan aset udara pada Sabtu.Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, sebuah helikopter jenis AS365 N3 Dauphin milik Maritim Malaysia telah digerakkan bagi membantu pemantauan dari udara untuk memperluaskan liputan pencarian."Helikopter tersebut telah berlepas dari Subang pada jam 1.05 tengah hari sebelum memasuki sektor pencarian sekitar jam 2.30 petang."Tujuannya adalah bagi melaksanakan pemantauan udara serta mengesan sebarang petunjuk di kawasan terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Beliau menambah, operasi di darat turut diteruskan oleh pasukan Tim Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) yang melakukan pencarian di sepanjang pesisir Pantai Sepat hingga ke Cherok Paloh bagi meningkatkan kebarangkalian mengesan mangsa.Jelasnya lagi, operasi yang memasuki hari ketiga itu melibatkan aset laut Maritim Malaysia bersama agensi sahabat dengan sektor pencarian meliputi keluasan kira-kira 38.09 batu nautika persegi."Keadaan cuaca di lokasi dilaporkan sederhana dengan angin Barat Daya Barat berkelajuan 10 hingga 20 kilometer sejam, manakala ketinggian ombak antara 0.5 hingga 1.0 meter," katanya.Sehubungan itu, Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999.Terdahulu, mangsa, Mohd Ishak Ismail, 63, dari Taman Beserah Ria dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas keluar sendirian untuk mencandat sotong di perairan daerah ini sejak Rabu lalu.Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, bot gentian kaca sepanjang kira-kira tujuh meter yang digunakan mangsa ditemui terdampar di Pantai Sepat pada Khamis.
Go to News Site