Collector
Dua maut, tiga cedera nahas empat kenderaan | Collector
Dua maut, tiga cedera nahas empat kenderaan
Sinar Harian

Dua maut, tiga cedera nahas empat kenderaan

KUALA LUMPUR - Dua lelaki maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 10.4 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dari arah Tol Ayer Panas menghala ke Ampang pada Sabtu.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku jam 3.43 petang membabitkan tiga lori jenis Hicom dan Isuzu serta sebuah kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton."Siasatan awal mendapati sebuah lori berhenti di lorong tengah akibat kerosakan enjin sebelum sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah belakang gagal mengawal kenderaan lalu merempuh lori terbabit."Susulan itu, sebuah lagi lori berhenti bagi memberi bantuan, namun sebuah lori lain yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar semua kenderaan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Mohd Zamzuri berkata, akibat kemalangan itu, dua lelaki masing-masing berusia 52 tahun dan 53 tahun maut di lokasi kejadian."Mangsa adalah seorang lelaki tempatan yang juga pemandu lori serta pemandu pikap dan seorang lelaki warga Bangladesh."Kedua-duanya berada di luar kenderaan ketika kejadian sebelum tersepit dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan," katanya.Menurutnya, tiga lagi individu iaitu dua lelaki berusia 43 dan 35 tahun serta seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun cedera dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut."Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu lori terakhir mengawal kenderaan sehingga melanggar kenderaan yang berhenti di lorong tengah."Ujian saringan pernafasan (EBA) terhadap pemandu terbabit didapati negatif, manakala ujian saringan air kencing masih dalam tindakan lanjut," katanya.Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,'" katanya.

Go to News Site