Sinar Harian
SHAH ALAM - Keputusan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) menolak cadangan pengambilalihan IJM adalah langkah tepat berikutan tawaran harga yang dikemukakan dilihat rendah serta tidak mencerminkan nilai sebenar aset syarikat.Pakar ekonomi dari University College i-CATS, Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, asas utama dalam sebarang keputusan pelaburan adalah potensi keuntungan serta pulangan jangka panjang kepada pemegang saham.Menurutnya, tindakan menjual pegangan pada harga rendah bukan sahaja tidak munasabah, malah boleh menjejaskan kepentingan pelabur khususnya institusi mewakili penyimpan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)."Keputusan diambil tepat dengan keadaan tawaran harga rendah. Jika dua atau tiga kali ganda daripada harga pasaran, itu boleh dipertimbangkan."Tapi, ini sebab tawaran harga memang rendah, jadi tak ada sebab untuk jual. Apa alasan hendak jual."Tidak perlu jual. Hendak jual itu senang, nak beli itu susah, melainkan jual dengan harga sangat tinggi," katanya kepada Sinar Ahad.Pada Khamis, tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat (VTO) bernilai RM11.04 bilion oleh Sunway Bhd ke atas IJM Corporation Bhd kini berdepan cabaran menjelang tarikh tutupnya 6 April berikutan dua GLIC yang keseluruhan memiliki pegangan kira-kira 43.5 peratus dalam IJM setakat ini memutuskan untuk menolak tawaran berkenaan.Sebelum ini, KWSP dilaporkan menolak tawaran Sunway untuk mengambil alih kepentingan dalam IJM Corporation dengan nilai RM11 bilionSelain KWSP, PNB selaku pemegang saham kedua terbesar IJM, memutuskan untuk tidak menerima tawaran tersebut bagi pegangan 13.5 peratus miliknya dalam konglomerat berkenaan.Dalam pada itu, Sazali berpandangan, penjualan hanya wajar dipertimbangkan sekiranya tawaran dibuat pada harga yang jauh lebih tinggi berbanding nilai pasaran.Beliau menegaskan bahawa institusi seperti PNB dan KWSP mempunyai tanggungjawab menjaga kepentingan penyimpan serta memastikan pulangan dividen yang stabil.Menurutnya, isu kecairan atau aliran tunai tidak menjadi masalah utama sehingga memaksa penjualan aset strategik.Justeru, beliau menegaskan keputusan menolak pengambilalihan ketika ini adalah yang terbaik, khususnya bagi melindungi kepentingan pelabur dan pemegang saham sedia ada.Mengulas lanjut, beliau berpandangan tidak tepat aset yang baik dilepaskan hanya disebabkan tekanan tertentu termasuklah faktor luar."Ini antara pegangan yang melibatkan majoriti bumiputera. Jadi kenapa kita nak lepaskan aset yang baik?" katanya.Untuk rekod, Sunway perlu memperoleh pegangan ekuiti sekurang-kurangnya 50 peratus ditambah satu saham dalam IJM bagi membolehkan tawaran pengambilalihan itu berkuatkuasa.Bagaimanapun, untuk menyahsenarai IJM secara mandatori dan menjadikannya syarikat persendirian, Sunway memerlukan kelulusan 90 peratus pemegang saham, satu ambang yang dilihat sukar dicapai susulan penolakan PNB.
Go to News Site