Sinar Harian
SHAH ALAM - Rakyat mula mengambil langkah berjimat cermat dan merancang kewangan sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat.Tinjauan di lokasi tumpuan awam sekitar bandar ini mendapati rata-rata orang ramai mengakui sudah mula menyesuaikan perbelanjaan harian selepas merasai impak awal krisis ekonomi.Bagi pemandu lori, Mat Isa Samah, 59, keluarganya memilih untuk mengawal perbelanjaan sebagai langkah awal menghadapi situasi semasa.Katanya, penyelarasan subsidi dan kenaikan harga diesel memberi kesan kepadanya yang bekerja hanya makan gaji."Saya perlahan-lahan mula menilai dan merancang perbelanjaan keluarga, selain cuba berjimat cermat, beli hanya yang perlu."Cuma, saya mengharapkan kerajaan memantau harga barangan kerana kita tahu apabila harga minyak naik, harga barang lain juga akan naik," katanya kepada Sinar Ahad di Kompleks PKNS di sini.Sementara itu, pegawai bank, Noor Asmah Nordin, 40, pula berkata, pengalaman menghadapi krisis ketika pandemik Covid-19 mengajarnya untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.Menurutnya, persediaan lebih awal dibuat dengan menambah stok barangan asas dan mengurangkan per-belanjaan bulanan."Walaupun saya dan suami bekerja, kami tetap ambil langkah berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan barang basah dan lain-lain."Dengan penjimatan ini, ia boleh menampung perbelanjaan tanpa usik wang simpanan yang ada kerana kita tidak tahu bila krisis ini akan berakhir," katanya.Bagi pekerja kilang, Sukheri Hadafi Mamat, 44, kesan awal krisis ekonomi mula dirasai apabila syarikatnya mengambil langkah mengurangkan tenaga kerja.Katanya, keadaan itu mendorongnya untuk mula aktif menjual produk dalam talian sebagai pendapatan sampingan."Meskipun ia belum memberi kesan kepada perbelanjaan keluarga, ada barangan mula naik harga akibat kenaikan harga bahan api seperti di negara jiran."Kami berharap kuasa beli di Malaysia dapat dipertingkatkan bagi membantu peniaga domestik termasuk peniaga dalam talian," ujarnya.Penjawat awam, Norlinda Zainal Abidin, 51, berpandangan situasi semasa masih terkawal dan mengambil pendekatan mengikut saranan kerajaan dalam mengurus kewangan."Setakat ini masih boleh dikawal. Kami ikut sahaja langkah yang disarankan dan berbelanja mengikut keperluan."Kerajaan tidak akan duduk diam. Pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk terus membantu rakyat," katanya.Pekerja swasta, Saidatul Aishah Limi, 25, pula berkata, tidak menambah komitmen kewangan adalah langkah penting dalam menghadapi krisis ekonomi."Buat masa ini belum terasa sangat tetapi saya elak membuat pinjaman baharu supaya tidak terbeban jika keadaan berubah."Sama seperti orang lain, saya juga mengambil pendekatan berjimat cermat dan tidak berbelanja sewenang-wenangnya," katanya yang masih bujang.
Go to News Site