Sinar Harian
KUALA NERUS - Pemimpin parti politik Melayu digesa menghentikan sikap tamak untuk menguasai kesemua 222 kerusi Parlimen secara bersendirian sekiranya benar-benar mahu melihat penyatuan bangsa menjadi kenyataan.Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya berkata, sikap 'stigma' mahu mendominasi kuasa tanpa kesediaan untuk berkongsi adalah penghalang utama kepada perpaduan yang kukuh sehingga hari ini.Menurut beliau, tanpa keberanian untuk melepaskan kepentingan ego parti masing-masing, orang Melayu akan terus berpecah dan akhirnya menjadi asing di tanah air sendiri."Mohon maaf jika saya berterus-terang di hadapan para Presiden (parti), tetapi mana-mana parti politik lazimnya mahu menguasai kesemua 222 kerusi Parlimen sendirian."Selagi tidak ada keberanian untuk berkongsi kuasa, selagi itulah perpaduan sukar dicapai," katanya ketika berucap pada Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Terengganu di sini pada Sabtu.Beliau turut menekankan kepentingan sikap berlapang dada dan memaafkan kekhilafan rakan seperjuangan demi agenda yang lebih besar iaitu survival ekonomi dan pendidikan bangsa."Jangan anggap diri kita sahaja yang terbaik. Kita perlu memaafkan rakan-rakan yang mungkin ada kekhilafan sebelum ini untuk bersama-sama membina penyatuan. Hentikan agenda menjatuhkan satu sama lain hanya kerana perbezaan kecil," tegasnya lagi.Aminuddin turut memberi amaran bahawa kedudukan ekonomi orang Melayu kini semakin merosot ke tahap yang membimbangkan, dengan angka pegangan yang didakwa menyusut sehingga ke paras sembilan peratus sahaja.Pada masa sama, beliau turut menggariskan beberapa agenda kritikal yang perlu diperjuangkan melalui perpaduan tersebut, antaranya isu bahasa, pendidikan dan ekonomi.Aminuddin mempersoalkan mengapa dokumentasi utama negara masih menggunakan bahasa asing serta jurang pendidikan antara orang Melayu dan bangsa lain yang dilihat semakin melebar."Dari segi ekonomi, pegangan kita pernah mencapai 24 hingga 25 peratus, namun hari ini saya difahamkan angka itu merosot kepada 15 peratus, malah ada yang mengatakan hanya sembilan peratus. Ke mana hala tuju pembangunan ekonomi kita?" soalnya.Sehubungan itu, beliau menyeru pimpinan parti politik agar lebih inklusif dan tidak meminggirkan peranan NGO yang mempunyai kepakaran serta idea bernas.Beliau turut mencadangkan dua langkah utama bagi memastikan penyatuan mendapat sokongan rakyat iaitu kesediaan berkongsi kuasa serta sikap berlapang dada menerima kelemahan pihak lain."Jangan anggap diri kita sahaja yang terbaik. Ambil iktibar kisah Hatib Abi Balta’ah yang dimaafkan Rasulullah SAW walaupun melakukan kesilapan besar. Kita perlu memaafkan kekhilafan rakan demi membina penyatuan."Hentikan agenda menjatuhkan satu sama lain. Lihatlah sekeliling, pendidikan, ekonomi, dan kedudukan sosial kita sedang terancam. Jangan sampai kita menjadi asing di tanah air sendiri, memiliki kuasa tetapi tidak memiliki tanah, manakala ekonomi dikawal pihak lain," katanya.Menurut beliau, sejarah membuktikan orang Melayu mampu bersatu dalam detik-detik kritikal seperti peristiwa 13 Mei dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun momentum tersebut gagal dipertahankan."Saya tidak pasti apa punca kesukaran yang menyebabkan orang Melayu sukar mengekalkan penyatuan. Apabila kita bersatu, kita mampu memperoleh majoriti dua pertiga, namun apabila gagal, isu kecil pun tidak mampu diselesaikan sehingga sekarang."Secara logik, sukar diterima bagaimana golongan yang membentuk 60 peratus populasi boleh merasa takut kepada golongan yang hanya lima peratus. Ini sesuatu yang tidak masuk akal, tetapi itulah realiti hari ini," ujarnya.
Go to News Site