Sinar Harian
MUAR – Sebarang usaha perbincangan bersama pembangkang bagi menangani isu tenaga global ketika ini perlu dilakukan kerajaan secara ikhlas dan serius.Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendekatan terbuka kerajaan untuk melibatkan pembangkang dalam sebarang pasukan petugas disambut baik, namun ia mesti dilakukan dengan komitmen sebenar."Kita mengalu-alukan jika Perdana Menteri bersikap terbuka dalam hal ini, tetapi tidak boleh sekadar ‘ajak-ajak ayam’."Kita boleh duduk bersama berbincang kerana masalah ini melibatkan semua pihak dan membabitkan rakyat yang akan terkesan," katanya pada sidang akhbar Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Belia dan Sukan Pagoh pada Ahad.Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan membuka ruang seluas-luasnya kepada pembangkang serta mana-mana pihak yang berhasrat untuk berbincang bagi membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian menangani krisis tenaga global.Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menolak pelantikan Tan Sri Mohd Hassan Marican sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menyelaras usaha kerajaan menangani krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat.Ujar Ahli Parlimen Pagoh itu, jawatan tertinggi dalam sebuah jawatankuasa penting itu sepatutnya digalas oleh Perdana Menteri sebagaimana beliau melakukannya ketika dunia dilanda pandemik Covid-19."Urusan seperti ini yang paling kritikal seharusnya dipimpin oleh Perdana Menteri sendiri. Ia bukan soal harga minyak, tetapi keluhan rakyat yang tertekan, terutamanya akibat kenaikan harga diesel," katanya.
Go to News Site