Sinar Harian
KUDAT - Taktik seorang lelaki warga emas menyembunyikan petrol di belakang sebuah bangunan disyaki untuk tujuan penyelewengan terbongkar selepas diserbu dalam operasi bersepadu di Kampung Pagasaon, Pitas.Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 73 tahun ditahan bersama 2,600 liter petrol tanpa sebarang kebenaran yang sah.Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, serbuan itu dijalankan bersama Pasukan Polis Marin (PPM)."Hasil serbuan berjaya menemui petrol yang disimpan di dalam 13 tong yang diletakkan di bahagian belakang sebuah struktur bangunan dan ditutupi dengan kanvas dalam keadaan mencurigakan."Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki tersebut memiliki barang kawalan sebanyak 2,600 liter petrol tanpa sebarang kebenaran yang sah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, lelaki tersebut ditahan manakala bahan api bernilai lebih RM5,000 itu dirampas untuk tindakan lanjut."Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu kesalahan berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran yang sah," katanya.Sementara itu, Nazatul Shima berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan petrol dan diesel, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai 'hotspot' berhampiran perairan yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan dan pengedaran bahan api secara tidak sah."Operasi ini juga merupakan tindakan susulan kepada Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) yang digerakkan kerajaan melalui KPDN, selain sebahagian daripada pelaksanaan Ops Tiris 4.0 bagi tahun 2026," jelasnya.Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat."Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan lebih agresif, terutama di kawasan berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api," katanya.
Go to News Site