Sinar Harian
SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli demi maruah dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Kumaresan Aramugam berkata, tindakan tegas itu penting bagi mengelak lebih banyak kerosakan dilakukan oleh bekas Timbalan Presiden PKR berkenaan."Jika benar Rafizi berasakan dirinya lebih kuat di luar parti, maka jangan terus bermain dua muka, keluar sekarang."Lebih satu juta anggota PKR bukan wujud untuk memenuhi kehendak seorang individu. PKR adalah parti yang berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk mana-mana individu."Cukuplah sandiwara ini. Rafizi tidak boleh terus berada dalam parti sambil merosakkan parti dari dalam. Itu bukan prinsip, itu hipokrasi politik. Justeru, demi maruah parti dan keyakinan rakyat, hanya satu langkah yang wajar diambil, Rafizi Ramli wajib berundur," katanya.Mengulas lanjut, Kumaresan yang juga Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang berkata, tindak-tanduk bekas menteri Kabinet sejak kebelakangan ini memberi gambaran bahawa kepentingan peribadi telah mengatasi agenda reformasi.Beliau turut mempersoalkan integriti kepimpinan Rafizi yang kini hanya lantang bersuara melalui platform media sosial selepas tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan."Persoalannya, sepanjang tiga tahun beliau berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi, mengapa beliau tidak bersuara seperti hari ini?"Mengapa kini hanya lantang di pentas podcast selepas tidak lagi berada dalam kedudukan kuasa?" soalnya.
Go to News Site