Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Pengasas PKR, Ng Lum Yong mendakwa Datuk Seri Rafizi Ramli kini berada dalam keadaan tertekan susulan dilabel sebagai ‘menteri paling gagal’ oleh pelbagai pihak.Menurutnya, situasi itu dipercayai berlaku selepas Rafizi tidak lagi berpihak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menyebabkan beliau mula mengeluarkan pelbagai kenyataan negatif terhadap kepimpinan kerajaan."Selepas beliau tidak lagi menyokong Anwar, banyak cerita tidak baik terhadap Perdana Menteri diperkatakan."Tindakan ini tidak betul. Sebagai seorang ahli politik, Rafizi mesti bersikap ‘gentleman’," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, Rafizi juga tidak wajar mengkritik semua perkara hanya kerana tidak lagi menyokong kepimpinan parti.Dalam pada itu, Lum Yong mendakwa pihaknya dapat meramalkan langkah seterusnya Ahli Parlimen Pandan itu yang dijangka cuba membina naratif politik baharu susulan kegagalannya menunaikan janji manifesto.Katanya, beberapa inisiatif besar yang diperkenalkan sebelum ini termasuk Pangkalan Data Utama (PADU) serta projek mesin layan diri bernilai ratusan juta ringgit didakwa gagal menunjukkan impak positif secara konsisten."Rafizi akan meninggalkan PKR," dakwanya.Dalam perkembangan berkaitan, sebelum ini aktivis politik, Faizan Mohd. Noor turut mengkritik Rafizi dengan mendakwa beliau bersikap tidak konsisten apabila hanya lantang bersuara terhadap isu melibatkan syarikat tertentu selepas tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.Faizan mendakwa, sepanjang tempoh hampir tiga tahun sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi tidak pernah menyuarakan bantahan terhadap syarikat-syarikat yang kini didakwanya bermasalah, walaupun kontrak perniagaan terus diberikan atau dilanjutkan ketika beliau berada dalam pentadbiran.Sementara itu, bekas calon pilihan raya negeri Sarawak, Mahmud Epah pula dilaporkan mempertikaikan kredibiliti Rafizi sebagai menteri dengan menyifatkan beliau gagal melaksanakan reformasi ekonomi seperti yang dijanjikan.Menurutnya, pelbagai cadangan dan formula ekonomi yang dibawa sebelum ini tidak diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan sepanjang tempoh memegang jawatan.Sementara itu, Rafizi sebelum ini menolak dakwaan tersebut dan menyifatkan label ‘menteri paling gagal’ sebagai satu gerakan terancang oleh kumpulan berpengaruh tertentu bagi mengalihkan perhatian rakyat.Beliau turut menamakan beberapa individu yang didakwa memainkan peranan dalam menyebarkan naratif berkenaan, termasuk Lum Yong, Faizan serta Mahmud.
Go to News Site