Sinar Harian
SHAH ALAM - "Saya di sini cuma cari makan, ambil upah kalau ada nak buat rumah, sambil jalankan perniagaan kecil-kecilan."Itu cerita seorang penduduk di salah sebuah lokasi didakwa menjadi penempatan haram warga asing di Setia Alam di sini.Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Wak berkata, dia turut memiliki status penduduk tetap dan memegang kad pengenalan berwarna merah."Saya datang Malaysia sudah lama, sejak dari 80-an lagi, banyak negeri saya sudah menetap, sekarang ni saya tinggal di sini."Saya ada kad pengenalan dan mahu cari makan secara halal, tak mahu benda-benda yang haram. Saya sedar kalau datang secara tidak sah itu satu kesalahan, saya mahu aman sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.Katanya, kawasan penempatan ini dihuni oleh pelbagai warganegara antaranya Indonesia, Vietnam, Bangladesh dan beberapa negara lain."Kalau dekat kawasan yang saya tinggal ini, kebanyakannya warga Indonesia, tentang mereka ada dokumen sah atau tidak itu saya tak tahu."Untuk kuasa elektrik kami gunakan generator, tapi bekalannya sudah dipotong, sudah dua hari. Kalau malam memang sangat gelap, hanya berteman lilin sahaja, nyamuk usah ceritalah, memang banyak," katanya.Dakwanya, ada bayaran dikenakan untuk penduduk yang menetap di kawasan ini."Jumlahnya itu saya tak ingatlah, tapi ada bayaran, buat bersihkan kawasan. Selain itu, untuk orang datang ambil buah sawit."Pokok sawit di sini masih lagi ada hasil dan ada yang datang ambilnya ikut musim tertentu," katanya.Sinar Harian yang berpeluang meninjau bahagian hadapan salah satu penempatan haram di sini melihat beberapa kenderaan memasuki kawasan terbabit.Selain itu, beberapa individu dipercayai penghuni di sini turut dilihat berjalan kaki ke kawasan penempatan haram ini.Dalam pada itu, menurut Wak, keadaan di kawasan ini agak lengang sejak semalam susulan operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia."Kalau tidak agak ramai, bukanlah meriah tapi ada orang la, cuma kalau lihat hari ini, lengang sebab ada yang ditahan."Macam saya katakan tadi, saya cuma fikir mahu cari rezeki halal, jauh sekali nak ganggu mana-mana pihak, kita ni hidup cuma sekali," katanya.Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan penempatan haram ini dilengkapi dengan kedai runcit yang menjual pelbagai barangan keperluan harian.Turut terdapat beberapa kenderaan termasuk kenderaan berjenama dipercayai milik penghuni yang diparkir di kawasan laluan masuk ke penempatan berkenaan.Sinar Harian sebelum ini melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menggempur lokasi dipercayai dijadikan 'perkampungan' haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di sini pada Sabtu.Op Bersepadu Mega itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dengan dibantu JIM Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang selain Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Go to News Site