Collector
Projek KPKT berteraskan rakyat, tiada yang ditangguh | Collector
Projek KPKT berteraskan rakyat, tiada yang ditangguh
Sinar Harian

Projek KPKT berteraskan rakyat, tiada yang ditangguh

IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan semua projek di bawah kementerian itu tidak akan ditangguhkan walaupun kerajaan mengambil langkah menangguhkan projek berskala besar.Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kebanyakan projek KPKT berteraskan kepentingan rakyat dan tidak melibatkan kos berbilion ringgit seperti projek mega."Sebenarnya kebanyakan projek KPKT berpaksikan kesejahteraan rakyat. Setakat ini saya rasa tidak ada apa yang perlu ditunda kerana kita fokus kepada projek rakyat, bukan projek mega yang berbilion ringgit."Apa yang dirancang ketika ini sedang rancak dilaksanakan, khususnya projek yang memberi manfaat terus kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Naik Taraf Medan Selera Greentown Utama di sini pada Ahad.Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang itu berkata, antara projek yang akan diteruskan termasuk pembangunan Perumahan Rakyat (PPR) yang menyediakan kediaman mampu milik.Memberi contoh projek PPR Tambun bernilai kira-kira RM150 juta, beliau berkata, projek berkenaan dijangka dimulakan dalam masa terdekat dengan majlis pecah tanah dirancang sekitar Jun depan."Saya akan minta Datuk Bandar (Ipoh) untuk membantu meluluskan pelan bangunan secepat mungkin."Kita mahu projek ini menjadi antara PPR terbaik, lengkap dengan kemudahan moden seperti taman rekreasi dan tasik, sekali gus menjadi penanda aras kepada perumahan mampu milik yang berkualiti seperti yang kita tekankan," katanya.Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beberapa projek berskala besar terpaksa ditangguhkan bagi memberi fokus kepada keperluan asas yang lebih mendesak.Langkah tersebut susulan kerajaan perlu menampung pertambahan perbelanjaan kira-kira RM6 bilion sebulan berikutan impak konflik di Asia Barat.Keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan pelaksanaan projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Go to News Site