Collector
Bersatu Perak makin kuat selepas pemecatan ADUN, Ahli Parlimen | Collector
Bersatu Perak makin kuat selepas pemecatan ADUN, Ahli Parlimen
Sinar Harian

Bersatu Perak makin kuat selepas pemecatan ADUN, Ahli Parlimen

SUNGAI SIPUT – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak kini berada dalam keadaan lebih kukuh selepas berdepan pelbagai cabaran termasuk tindakan segelintir pimpinan yang meninggalkan parti sebelum ini.Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keadaan semasa menunjukkan parti berkenaan bukan sahaja kekal stabil malah semakin kuat hasil kesetiaan majoriti ahli di peringkat akar umbi.Menurutnya, kesemua 24 bahagian Bersatu di negeri ini masih beroperasi seperti biasa walaupun terdapat beberapa pimpinan bahagian sebelum ini meletakkan jawatan."Majoriti besar ahli dan cawangan di bahagian terlibat masih kekal setia kepada parti."Malah saya dapati Bersatu Perak bukan sahaja tidak lemah, tetapi bertambah kuat daripada sebelum ini," katanya kepada pemberita.Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Negeri Perak bersama Bersatu Bahagian Sungai Siput di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu di sini pada malam Ahad.Hadir sama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Idris Ahmad serta pimpinan parti komponen Perikatan Nasional termasuk wakil Pas dan Gerakan.Mengulas dakwaan kononnya Bersatu Perak semakin lemah susulan pelantikan beberapa ketua bahagian baharu, Ahmad Faizal menjelaskan situasi sebenar adalah sebaliknya.Katanya, mereka yang meninggalkan parti sebelum ini merupakan individu yang menyertai Bersatu ketika parti itu berada dalam kerajaan manakala ahli asal kini kembali menerajui kepimpinan."Mereka yang telah meletakkan jawatan adalah mereka yang baru datang berhijrah menumpang sewaktu Bersatu mempunyai kuasa."Apabila mereka ini tidak setia, ahli-ahli asal kembali mengambil alih dan hari ini parti dipimpin oleh majoriti daripada kumpulan asal," ujarnya.Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan pengunduran beberapa pemimpin termasuk bekas Timbalan Presiden parti tidak menjejaskan kekuatan Bersatu, sebaliknya menyaksikan pertambahan cawangan di beberapa bahagian.Sebelum ini pemimpin Bersatu Perak antara yang paling ramai dipecat dan melepaskan jawatan termasuklah wakil rakyat.Antara mereka termasuklah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.Bagi pimpinan bahagian pula, mereka yang dipecat termasuklah, Ketua Bersatu Bahagian Teluk Intan, Kamaruddin Majid; Ketua Bersatu Bahagian Gopeng, Ahmad Ishak; Ketua Bersatu Bahagian Larut, Mohd Hassundi Hamzah dan Ketua Bersatu Bahagian Tapah, Mhod Yunus Mhd Yusop.

Go to News Site