Collector
Tawaran pengambilalihan IJM terjawab hari ini? | Collector
Tawaran pengambilalihan IJM terjawab hari ini?
Sinar Harian

Tawaran pengambilalihan IJM terjawab hari ini?

SHAH ALAM - Penentuan terhadap tawaran pengambilalihan bernilai kira-kira RM11 bilion oleh Sunway Bhd (Sunway) ke atas IJM Corporation Bhd (IJM) bakal terjawab hari ini apabila tempoh penerimaan tawaran itu ditutup pada jam 5 petang.Keputusan sama ada Sunway berjaya atau tidak memperoleh pegangan kawalan dalam IJM dijangka diumumkan selepas tamat tempoh tawaran.Langkah berprofil tinggi itu mendapat perhatian pelabur dan pemerhati pasaran berikutan nilai keseluruhan cadangan pengambilalihan berkenaan yang berpotensi menjadi antara transaksi korporat terbesar di negara ini.Penggabungan berkenaan juga diramal menjadikan kumpulan yang diperbesarkan itu sebagai konglomerat hartanah dan pembinaan terbesar di Malaysia dari segi pendapatan dan jumlah aset, sekali gus mewujudkan ‘juara kebangsaan’ dengan skala serta kemampuan untuk bersaing di peringkat serantau ASEAN.Sebelum ini, Sunway dalam makluman kepada Bursa Malaysia dilaporkan berkata, pemegang saham IJM yang berminat diberi tempoh untuk mempertimbangkan tawaran tersebut bermula 3 Februari lalu sehingga tarikh tutup berkenaan.Syarikat itu turut menamakan anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Fortuna Gembira Enterprise sebagai penerima saham bagi cadangan pengambilalihan tersebut."Tawaran ini bersyarat kepada penerimaan sah oleh Sunway pada atau sebelum tarikh tutup, membolehkan Sunway memegang secara agregat lebih daripada 50 peratus saham undian dalam IJM," katanya.Pada 12 Januari lalu, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk membeli keseluruhan 3.51 bilion saham IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham.Menerusi tawaran itu, harga ditetapkan pada RM3.15 bagi setiap saham, yang mewakili premium 14.55 peratus berbanding harga penutup terakhir RM2.75.Menurut syarikat itu, dengan mengandaikan cadangan tawaran diterima sepenuhnya dan tiada pelarasan dibuat terhadap harga tawaran, jumlah pertimbangan bagi tawaran berkenaan dianggarkan kira-kira RM11 bilion.Katanya, pembayaran bagi cadangan pengambilalihan itu akan diselesaikan melalui gabungan 10 peratus tunai dan 90 peratus menerusi penerbitan saham baharu Sunway pada harga terbitan RM5.65 sesaham.Sebagai ilustrasi bagi memudahkan pemahaman pemegang saham, bagi setiap lot papan 1,000 saham IJM, pemegang saham akan menerima RM315 tunai dan kira-kira 501 saham Sunway yang bernilai sekitar RM2,835.Komponen tunai sebanyak RM1.1 bilion bagi transaksi itu akan dibiayai menerusi gabungan pembiayaan hutang dan dana dalaman yang dijana.Tawaran itu tertakluk kepada syarat Sunway menerima penerimaan sah yang menghasilkan pemilikan melebihi 50 peratus daripada saham mengundi IJM, serta kelulusan pihak berkuasa dan pemegang saham.Sekiranya Sunway berjaya mencapai tahap penerimaan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada saham tawaran, kumpulan itu berhasrat untuk melaksanakan hak pengambilalihan wajib bagi baki saham dan seterusnya menyahsenarai IJM daripada Bursa Securities.Gabungan kedua-dua syarikat bakal mewujudkan syarikat kelapan terbesar di Bursa Malaysia dari segi permodalan pasaran pada RM47.7 bilion. Sunway kini syarikat ke-11 terbesar di Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran RM37.9 bilion.Sunway juga memaklumkan cadangan tawaran tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2026.Antara pemegang saham terbesar IJM ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui beberapa akaun nomini dengan pegangan melebihi 10 peratus, diikuti Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak 8.35 peratus.Dana-dana unit amanah di bawah Permodalan Nasional Bhd (PNB) seperti Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Malaysia juga tersenarai sebagai pemegang saham signifikan selain Lembaga Tabung Haji.Timbulkan kontroversiBagaimanapun, cadangan pengambilalihan tersebut turut menimbulkan kontroversi apabila dibantah banyak pihak termasuk pemegang saham terbesar IJM sendiri selain pihak Lembaga Pengarah IJM, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), firma penyelidikan dan penganalisis ekonomi.Perdasama menyatakan bantahan keras terhadap cadangan pengambilalihan dan pertukaran saham antara Sunway dan IJM dengan memberi amaran bahawa urus niaga mega itu berpotensi menjejaskan ekuiti bumiputera serta mendedahkan dana awam kepada risiko yang tidak seimbang.Lembaga Pengarah IJM pula mengesyorkan supaya pemegang saham menolak tawaran pengambilalihan tersebut selepas mereka sebulat suara bersetuju dengan pandangan penasihat bebas M&A Securities bahawa tawaran itu adalah tidak adil dan tidak munasabah.Dalam pekeliling nasihat bebas yang difailkan kepada Bursa Malaysia, M&A Securities menyatakan harga tawaran sebanyak RM3.15 sesaham, terdiri daripada 31.5 sen tunai dan kira-kira RM2.835 dalam bentuk saham pertimbangan, adalah 'tidak adil' kerana ia mewakili diskaun berbanding nilai 'sum-of-parts' (SOPV) syarikat.KWSP pada 30 Mac lalu dilaporkan menolak tawaran Sunway untuk mengambil alih kepentingannya dalam IJM, menurut sumber.PNB juga sebelum ini turut menolak tawaran Sunway atas faktor penilaian dan pulangan pelaburan.Meskipun berdepan tentangan daripada beberapa pemegang saham institusi, Sunway berjaya meraih sokongan hampir keseluruhan pemegang sahamnya sendiri untuk meneruskan cadangan pengambilalihan itu dalam mesyuarat agung luar biasa pada 26 Mac lepas.Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan, Pengasas dan Pengerusi Sunway Berhad, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah menegaskan, cadangan pengambilalihan bersyarat IJM oleh Sunway bukan bertujuan mengetepikan kepentingan bumiputera atau Melayu.Sebaliknya ia sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan bagi kedua-dua pihak dalam landskap perniagaan yang semakin mencabar.Menurutnya, naratif perkauman yang dimainkan berhubung tawaran tersebut jelas tersasar, sedangkan langkah tersebut mencerminkan usaha mewujudkan platform baharu yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya saing, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan bersama yang lebih mampan.Dalam konteks itu, katanya, penggabungan kekuatan dan kepakaran dijangka mampu memperluas peluang ekonomi termasuk kepada pemain bumiputera selari dengan aspirasi pertumbuhan jangka panjang negara.

Go to News Site