Sinar Harian
SHAH ALAM – Kegagalan sistem brek, penggunaan tayar tidak selamat dan kenderaan tidak diselenggara dengan baik antara kesalahan teknikal tertinggi dikesan mengancam keselamatan jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan di Selangor.Masalah teknikal ini bukan sahaja meningkatkan risiko kemalangan, malah boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan ketika membawa muatan berat, terutama di laluan berbukit atau ketika menuruni cerun panjang.Situasi ini berlaku apabila komponen kritikal seperti brek, sistem suspensi dan tayar gagal berfungsi dengan sempurna serta memberi kesan langsung kepada kestabilan serta keupayaan membrek.Lebih membimbangkan, kegagalan komponen ini sering berlaku secara tiba-tiba tanpa amaran awal mengakibatkan pemandu sukar mengawal kenderaan dalam situasi kecemasan.Berdasarkan statistik penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor bagi tahun 2025, kesalahan teknikal mencatatkan sebanyak 35,702 kes daripada keseluruhan 123,029 kesalahan yang direkodkan, menunjukkan tahap pematuhan terhadap aspek keselamatan masih berada pada tahap membimbangkan.Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, angka itu mencerminkan kecenderungan dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan yang masih mengambil ringan soal penyelenggaraan."Selain kesalahan teknikal, antara pelanggaran lain yang direkodkan termasuk kesalahan lain-lain sebanyak 23,639 kes, tiada Lesen Memandu Kenderaan Perdagangan (GDL) (14,931), tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) (14,855) serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (14,122)."Turut dikesan ialah kesalahan lebih muatan sebanyak 6,113 kes, tiada insurans (6,088), gagal patuhi waktu terhad (2,094), kesalahan tayar (1,926), cermin gelap (1,798), muatan bahaya (1,207) serta nombor pendaftaran (554)," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.Beliau berkata, peningkatan ketara kesalahan teknikal berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan 23,761 kes pada 2024."Statistik ini menunjukkan penguatkuasaan lebih meluas serta tahap pematuhan yang masih rendah."Ini bukan semata-mata melibatkan pemandu atau syarikat yang sama, sebaliknya mencerminkan skala pemeriksaan JPJ yang semakin intensif di lapangan," katanya.Azrin berkata, antara kesalahan teknikal yang sering dikesan termasuk kenderaan tidak diselenggara dengan baik sehingga tidak memenuhi piawaian keselamatan, selain kerosakan pada lampu isyarat dan lampu utama.Katanya, kegagalan sistem brek kekal sebagai antara isu paling kritikal kerana ia melibatkan komponen utama yang menentukan keupayaan kenderaan berhenti dengan selamat."Kerosakan pada sistem brek seperti kebocoran angin, kehausan pad brek atau kegagalan sistem pneumatik boleh menyebabkan kenderaan gagal berhenti tepat pada masanya."Turut dikenal pasti ialah pemasangan komponen atau pengubahsuaian yang tidak mematuhi spesifikasi serta kegagalan sistem brek dan komponen keselamatan lain ketika ujian teknikal."Penggunaan tayar yang tidak sesuai atau tayar celup (retread) yang tidak selamat juga antara isu yang sering ditemui," katanya.Menurutnya, terdapat juga kes di mana tayar digunakan melebihi had kehausan sehingga permukaan menjadi botak, sekali gus mengurangkan cengkaman dan meningkatkan risiko tergelincir."Selain itu, masalah sistem suspensi yang haus atau rosak turut menyumbang kepada ketidakstabilan kenderaan, terutama ketika membawa muatan berat atau melalui permukaan jalan tidak rata."Keadaan ini boleh menyebabkan kenderaan mudah terhuyung-hayang dan sukar dikawal dan meningkatkan risiko kemalangan serius," katanya.Muatan berlebihan, tayar botakDalam pada itu, Azrin menjelaskan bahawa kesalahan muatan berlebihan masih kekal sebagai antara kesalahan serius meskipun menunjukkan penurunan hasil daripada penguatkuasaan yang lebih agresif."Kesalahan ini bukan sekadar pelanggaran peraturan, malah memberi kesan langsung kepada kestabilan kenderaan dan keupayaan membrek."Apabila muatan melebihi had, tekanan terhadap sistem brek dan tayar akan meningkat secara mendadak, sekali gus mempercepatkan kehausan komponen kritikal," katanya.Menurutnya, dalam keadaan tertentu, muatan berlebihan juga boleh menyebabkan kegagalan struktur kenderaan termasuk gandar dan sistem sokongan lain."Walaupun jumlahnya menurun, risiko yang dibawa oleh muatan berlebihan sangat tinggi."Ia boleh menyebabkan kegagalan sistem brek serta meningkatkan jarak membrek dan merisikokan kepada kemalangan," katanya.Beliau berkata, tayar botak atau tidak selamat juga tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan cengkaman jalan dan kestabilan kenderaan."Kegagalan tayar berfungsi dengan baik boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan terutama dalam keadaan jalan basah atau ketika membawa muatan berat."Dalam operasi, jika didapati kenderaan tidak selamat, tindakan serta-merta akan diambil termasuk menghalang kenderaan daripada meneruskan perjalanan," katanya.Azrin berkata, JPJ juga boleh mengeluarkan Notis Arah Pemeriksaan, selain menyita kenderaan sekiranya perlu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.Tambahnya, pemandu atau pemilik kenderaan turut berdepan tindakan saman dan hanya dibenarkan menggunakan semula kenderaan selepas pembaikan dilakukan serta disahkan selamat.Beliau turut mengakui masih terdapat segelintir pengusaha dan pemandu yang mengambil mudah soal penyelenggaraan meskipun risiko yang dihadapi amat besar."Berdasarkan pemeriksaan di lapangan, kita dapati ada yang mengabaikan aspek asas keselamatan walaupun kenderaan digunakan secara intensif setiap hari."Ada juga kenderaan yang sepatutnya diselenggara secara berkala tetapi terus digunakan tanpa pemeriksaan rapi, sekali gus meningkatkan risiko kegagalan teknikal," katanya.Menurutnya, sikap sambil lewa ini bukan sahaja membahayakan pemandu itu sendiri, malah pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.Sehubungan itu, Azrin menegaskan bahawa JPJ Selangor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan peraturan dan keselamatan."Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi keselamatan semua pengguna jalan raya."Penguatkuasaan akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa termasuk memperluas operasi pemeriksaan di lokasi berisiko tinggi serta laluan utama kenderaan berat," katanya.Tegasnya, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan tidak boleh dikompromi walau dalam apa jua keadaan.Info statistik kesalahan kenderaan perdagangan tahun 2025:Kesalahan teknikal: 35,702Lain-lain kesalahan: 23,639Tiada GDL: 14,931Tiada CDL: 14,855LKM tamat tempoh: 14,122Lebih muatan: 6,113Tiada insurans: 6,088Gagal patuhi waktu terhad: 2,094Tayar: 1,926Cermin gelap: 1,798Muatan bahaya: 1,207Nombor pendaftaran: 554Jumlah keseluruhan: 123,029
Go to News Site