Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Individu memandu secara melawan arus dalam kejadian tular di Jalan Klang Lama di sini dipercayai tersalah jalan untuk menghala ke Mid Valley sebelum tindakannya itu mengundang padah apabila ditahan pada Ahad.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Polis Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek hadir sendiri ke Pejabat JSPT Kuala Lumpur pada jam 8.35 malam, 5 April lalu sebelum tangkapan dilakukan.Menurutnya, sebelum itu pihak polis telah pergi ke beberapa alamat kediaman yang diperoleh termasuk rumah keluarga suspek, namun gagal mengesannya."Hasil siasatan awal mendapati punca utama suspek memandu secara melawan arus adalah kerana tersalah jalan untuk menghala ke Mid Valley."Ujian saringan pernafasan (EBA) dan air kencing turut dijalankan dan keputusan mendapati suspek negatif bagi kedua-dua ujian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Tambahnya, suspek akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta pada jam 9 pagi, Isnin.Terdahulu, tular satu video memaparkan sebuah kereta dipandu melawan arus di Jalan Klang Lama mengakibatkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Go to News Site