Sinar Harian
LEGENDA Manchester United, Ryan Giggs menggesa Michael Carrick untuk segera mendapatkan khidmat pemain tengah Crystal Palace, Adam Wharton pada jendela perpindahan musim panas ini.Giggs menyifatkan pemain muda berbakat itu sudah memiliki kualiti yang melayakkannya menyarung jersi The Red Devils.United kini dilaporkan sedang memburu pemain tengah baharu bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Casemiro yang dijangka akan berhijrah keluar dari Old Trafford pada penghujung musim ini.Giggs percaya Wharton yang dinilai pada harga £70 juta (RM373 juta) oleh Palace, harus menjadi keutamaan kelab, namun beliau turut menegaskan bahawa bekas kelabnya itu perlu menandatangani sekurang-kurangnya dua pemain tengah.Seorang lagi calon yang menjadi pilihan Giggs ialah tonggak Nottingham Forest, Elliot Anderson."Pertama sekali, kita perlu selesaikan isu pemain yang keluar secara pinjaman seperti Rashford, Sancho dan Hojlund. Tetapi keutamaan pastinya di bahagian tengah, saya nampak kita perlukan dua pemain baharu."Nampaknya Kobbie Mainoo akan kekal, manakala Casemiro dan Manuel Ugarte mungkin pergi. Jadi, kita perlu memperkukuhkan bahagian tengah tanpa sebarang keraguan."Saya sentiasa suka pemain kidal dalam pasukan, jadi saya tidak akan membantah jika Wharton dibawa masuk. Pada pandangan saya, dia nampak seperti seorang pemain Manchester United."Dia seorang yang mampu mengawal bola dengan baik, melakukan hantaran ke depan, rajin berlari dan paling penting, mempunyai pengalaman di Liga Perdana Inggeris," katanya.Mengulas mengenai Anderson, Giggs menyifatkan pemain itu sebagai individu yang konsisten dan kental di atas padang."Anderson juga saya suka, dia pemain yang solid dan bermain dalam setiap perlawanan. Saya boleh bayangkan gandingan Wharton-Mainoo atau Anderson-Wharton. Ia bergantung kepada bajet kerana pemain British biasanya mahal, tetapi kita memang perlukan dua pemain tengah," tambahnya.Dalam pada itu, Giggs turut menghantar pesanan jelas kepada hierarki pengurusan United agar mengekalkan Michael Carrick sebagai pengurus tetap dan berhenti mencari alternatif lain seperti Luis Enrique, Julian Nagelsmann atau Oliver Glasner."Perkara paling sukar bagi seorang pengurus adalah untuk memenangi perlawanan dan dia (Carrick) sedang melakukannya. Kita hanya kalah satu perlawanan setakat ini."Bukan itu sahaja, suasana di dalam kelab juga sudah berubah. Sebelum ini, peminat datang ke stadium tanpa tahu apa yang akan berlaku, tetapi sekarang semua sudah berbeza. Peminat kini yakin kita mempunyai peluang besar untuk menang."Malah, kita kini mula memandang ke atas, bukannya ke bawah lagi. Bolehkah kita mengejar Manchester City? Perubahan ini sangat luar biasa."Saya tidak nampak orang lain selain Michael buat masa ini. Dia membawa ketenangan dan saya percaya dia akan membawa masuk pemain yang tepat kerana dia sangat mengenali selok-belok kelab ini. Berikan dia masa, dia akan menjadi lebih hebat," ujar Giggs.
Go to News Site