Collector
TKP JAS didakwa lagi terima RM9,110 baiki rumah | Collector
TKP JAS didakwa lagi terima RM9,110 baiki rumah
Sinar Harian

TKP JAS didakwa lagi terima RM9,110 baiki rumah

SHAH ALAM - Timbalan Ketua Pengarah (TKP) Jabatan Alam Sekitar (JAS) didakwa lagi atas satu pertuduhan menerima RM9,110 daripada seorang pengarah syarikat pengurusan sisa berjadual bagi kerja baik pulih rumah, empat tahun lalu.Dr Norhazni Mat Sari, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin."Saya faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," katanya.Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu TKP (Pembangunan) jabatan tersebut telah menerima wang berkenaan menerusi pindahan dalam talian.Wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun bank milik sebuah syarikat konstruksi bagi bayaran membaik pulih rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya.Ia diterima daripada seorang pengarah syarikat pengurusan sisa berjadual yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh di sebuah bank di Taman Sentosa, Klang pada 25 Mei 2022.Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin memohon jaminan mengguna pakai kes yang dihadapi tertuduh di Mahkamah Kuala Lumpur minggu lalu."Saya turut memohon kes ini dipindahkan dan dibicarakan bersama dengan kes berkenaan," katanya.Sementara itu, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili tertuduh tidak membantah perkara tersebut.Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohd Nasir membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 Mei depan.Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan menerima RM21,000 daripada seorang pengarah syarikat pengurusan sisa berjadual, empat tahun lalu.

Go to News Site