Sinar Harian
PUTRAJAYA - Seorang anak kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin.Individu itu ialah Asnida dan dilihat tiba kira-kira jam 9.50 pagi menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV).Turut kelihatan dua peguam dipercayai mewakili Asnida.27 Februari lalu, SPRM memaklumkan sedang mengesan empat anak tokoh politik terbabit iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin serta Muhammed Amin Zainuddin bagi tujuan siasatan.Berikutan itu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dilaporkan berkata, pihak peguam telah memberikan jaminan bahawa kesemua individu terbabit akan hadir ke pejabat SPRM pada 6 April bagi tujuan memberikan keterangan.Siasatan Op Godfather dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.SPRM juga menjelaskan Notis Kesan Individu yang dikeluarkan pihaknya terhadap empat individu itu bukan satu bentuk hukuman atau senarai dikehendaki.Sebaliknya kata SPRM, ia merupakan mekanisme prosedural bagi mengesan dan memastikan kehadiran individu untuk membantu siasatan.
Go to News Site