Sinar Harian
KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan merampas dan menyita motosikal mana-mana individu yang merempit di balai perlepasan di terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini.Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau sudah mengarahkan JPJ untuk menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan tersebut."Sesiapa yang berani merempit di depan airport akan disita terus motosikal mereka," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.Beliau turut meminta pihak pengurusan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) untuk memperketatkan laluan masuk dan keluar ke bangunan terminal untuk membendung gejala tersebut.Ujarnya, apa yang dilakukan oleh 'mat rempit' itu bukan sahaja menyedihkan tetapi sangat memalukan."Kerajaan Persekutuan membelanjakan hampir RM450 juta untuk menaiktaraf lapangan terbang Kota Bharu untuk memastikan konektiviti udara yang lebih baik untuk negeri Kelantan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio ekonomi rakyat Kelantan serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri tersebut."Kelakuan golongan mat rempit ini di depan balai perlepasan terminal baharu tersebut bukan sahaja membahayakan nyawa orang ramai yang menggunakan lapangan terbang, malah boleh dikatakan sebagai tindakan sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri," katanya.Sinar Harian pada Ahad melaporkan balai perlepasan di terminal baharu LTSIP Pengkalan Chepa di sini yang kurang sebulan beroperasi secara penuh dijadikan litar lumba oleh 'mat rempit'.Aktiviti terbabit dikatakan berlaku sejak Ramadan lalu sehingga berlarutan pada Jumaat malam apabila ia mulai tular di media sosial selepas dirakam oleh pengguna lapangan terbang berkenaan.Tinjauan Sinar Harian sekitar jam 7 hingga 9 malam di lokasi pada Sabtu mendapati kelibat 'mat rempit' tidak muncul seperti mana biasa selepas unit kereta peronda polis (MPV) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan rondaan secara berkala.Seorang petugas keselamatan yang ingin dikenali sebagai Fattah, 40, berkata, perkara tersebut sudah berlarutan sejak balai perlepasan LTSIP di terminal baharu siap dibuka kepada pengguna pada 19 Mac lalu.
Go to News Site