Collector
Enam anak YKM cemerlang SPM, sokongan berterusan jadi kunci kejayaan | Collector
Enam anak YKM cemerlang SPM, sokongan berterusan jadi kunci kejayaan
Sinar Harian

Enam anak YKM cemerlang SPM, sokongan berterusan jadi kunci kejayaan

TAMPIN – Seramai enam daripada 32 anak-anak Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatat keputusan cemerlang.Mereka ialah Aisyah Maharuddin (10A) dari Sekolah Menengah Agama Repah; Nur Aqilah Alya Mohamad (9A) dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar dan Nurhanani Ainan Khafizan (9A) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib.Antara lain, Nurul Iffah Hafshah Irwan (8A) dari Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu; Nur Afiqah Najla Maharin (5A) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong serta Anis Shazrina Anuar (5A) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya.Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya mencerminkan kekuatan jiwa, ketabahan serta keazaman tinggi dalam menghadapi cabaran kehidupan.Menurutnya, ia membuktikan setiap anak Malaysia berpotensi melakar kejayaan membanggakan dengan sokongan berterusan serta peluang yang saksama."Kejayaan ini adalah bukti bahawa agenda pemerkasaan pendidikan dan kebajikan anak-anak Keluarga Malaysia berada pada landasan yang tepat."Setiap kejayaan anak-anak ini adalah simbol harapan negara. Mereka bukan sahaja membuktikan keupayaan diri, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa masa depan negara terletak pada generasi yang berilmu, berdaya tahan dan berakhlak," katanya.Sebelum ini, beliau mengadakan ziarah ke rumah Aisyah di Taman Asahan Indah, Gemencheh dan Nur Aqilah Alya di Felda Jelai 4, Gemas.Turut hadir, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.Kedua-dua pelajar berkenaan menerima Bantuan Kecemerlangan SPM 2025 daripada YKM.Selain enam pelajar itu, YKM turut komited membantu pelajar lain melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kemahiran melalui kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan kolej kemahiran.Anak-anak YKM yang memperoleh keputusan 5A ke atas akan menerima bantuan sama yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Isnin.

Go to News Site