Sinar Harian
IPOH – Pemuda Pakatan Harapan (PH) menasihati pembangkang khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya memberi tumpuan kepada penyusunan dalaman parti masing-masing berbanding berangan mentadbir kerajaan.Ketua Angkatan Muda Harapan, Woo Kah Leong berkata, situasi dalaman pembangkang kini dilihat semakin berpecah termasuk perubahan dalam gabungan politik mereka."Sehingga kini mereka tidak mampu menukarkan Ketua Pembangkang Parlimen malah mengambil masa berbulan-bulan untuk menggantikan Pengerusi Perikatan Nasional."Namun dalam masa sama, mereka sibuk bercakap soal mentadbir negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Kah Leong berkata, pembangkang di Perak sepatutnya memberi tumpuan kepada penyusunan dalaman parti masing-masing sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.Katanya, ini kerana kemelut yang melanda Bersatu baru-baru ini pasti akan membawa perubahan termasuk kemungkinan pertukaran tempat duduk ADUN pembangkang di dalam DUN."Daripada Bersatu kini dilihat seperti berpecah, malah Perikatan Nasional pula dilihat semakin cenderung kepada satu parti sahaja."Justeru, tidak hairan jika pembangkang terus dilihat sebagai gagal memainkan peranan semak dan imbang dengan berkesan," katanya yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY).Dalam pada itu, wakil rakyat DAP itu juga menyifatkan pembangkang di Perak disifatkan gagal memainkan peranan berkesan apabila didakwa lebih menumpukan usaha merampas kuasa berbanding membantu rakyat yang sedang berdepan pelbagai cabaran semasa.Katanya, dalam situasi dunia yang kini berdepan krisis termasuk kekurangan sumber tenaga, tindakan pembangkang yang terus berpolitik dianggap tidak bertanggungjawab.Menurutnya, rakyat pastinya tidak mahu mengulangi detik sukar seperti sebelum ini sehingga terpaksa mengangkat ‘bendera putih’ bagi mendapatkan bantuan."Rasanya tiada rakyat yang mahu sekali lagi melalui situasi itu di bawah pentadbiran terdahulu. Ada sebab kenapa pembangkang kini dilihat sebagai paling tidak berguna dalam sejarah."Mereka tidak pernah mengusulkan cadangan konstruktif, tidak berikhtiar membantu rakyat dan sebaliknya terus memikirkan soal rampasan kuasa," katanya.Terdahulu Sinar Harian melaporkan Bersatu mendakwa sentimen rakyat di Perak ketika ini menunjukkan kecenderungan untuk melakukan perubahan kerajaan pada pilihan raya akan datang.Pengerusinya, Ahmad Faizal Azumu berkata, keadaan semasa itu bukan sahaja berlaku di negeri ini malah turut dirasai di seluruh negara yang mahukan Perikatan Nasional (PN) kembali mentadbir.
Go to News Site