Sinar Harian
PUTRAJAYA- Kerajaan tidak akan mengeluarkan sebarang permit khas kepada 'ulat foto' yang beroperasi secara haram di beberapa tempat tumpuan pelancong di ibu negara.Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, faktor keselamatan pengguna jalan raya mendorong pihaknya tidak berkompromi terhadap sebarang aktiviti berkenaan."Dalam lawatan ke tapak berkenaan, apa yang kita lihat adalah isu keselamatan kerana persimpangan tersebut tidak selamat untuk melakukan aktiviti mengambil gambar, oleh itu kita tidak boleh boleh mempertimbangkan untuk beri permit," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Inisiatif Penguasaan Bahasa Antarabangsa Untuk Generasi Muda Putrajaya dan Bantuan Mobiliti Komuniti Putrajaya di bilik pameran Carsome di sini pada Isnin.Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir.Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah memasang beberapa kamera litar tertutup (CCTV) tambahan di persimpangan tersebut bagi memantau aktiviti perhidmatan 'ulat foto'."DBKL juga memasang sistem hebahan dalam lima bahasa di kawasan itu untuk membuat pengumuman setiap 10 minit memaklumkan kepada pelancong agar tidak menggunakan perkhidmatan 'ulat foto'," jelas beliau.Ujar Hannah, operasi bersepadu polis bersama DBKL berjaya membanteras aktiviti tersebut yang dipelopori warga asing menggunakan indentiti palsu."Apa yang dimaklumkan oleh polis, mereka bukan orang tempatan tetapi warga asing yang menggunakan identiti palsu," katanya.Minggu lalu, seramai 25 individu termasuk seorang wanita dipercayai ‘ulat foto’ ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC).Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menahan 23 lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki warga Filipina berusia 16 hingga 48 tahun dalam operasi bermula jam 10 malam.Kesemua individu direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148/324 Kanun Keseksaan.
Go to News Site