Sinar Harian
SHAH ALAM – Seorang pesara kerajaan dan seorang bekas pengerusi kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, masing-masing atas satu pertuduhan menggunakan invois palsu serta bersubahat bagi tuntutan kerja baik pulih sebuah rumah ibadat berjumlah RM50,000, lima tahun lalu.Pesara kerajaan, M Thiruselvam, 65, dan bekas pengerusi Kuil Sri Sakthi Easwari, P Selvam, 70, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin dan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.Mengikut pertuduhan, Thiruselvam yang juga bapa kepada empat anak didakwa menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu ‘Invois Datuk Seri M Thiruselvam bertarikh 15 November 2021 berjumlah RM50,000.Ia bagi tuntutan bayaran 'Consultancy Of Majlis Approval for New Yaga Salai, Resolving Leaking Work for Poorviga Amman dan Resolving Leaking Work for Main Temple (Vinayagar Sanathi, Easwari Sanathi and Murugan Sanathi)'.Dokumen itu diberikan kepada Setiausaha kuil, V Gopala Krishnan, 64, yang diketahui palsu, di kuil berkenaan di Petaling di sini pada 22 November 2021.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama, membawa hukuman penjara selama dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Sementara itu, Selvam didakwa bersubahat dengan Thiruselvam berhubung tuntutan sama yang didakwa dilakukan pada tarikh dan lokasi serupa.Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 itu dengan peruntukan hukuman sama.Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasua Malaysia (SPRM), Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi manakala Thiruselvam diwakili peguam N. Lalitha dan Selvam oleh peguam, M Segaran.Thiruselvam dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara Selvam (RM15,000) dengan seorang penjamin.Kedua-dua mahkamah turut menetapkan setiap tertuduh memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.Mahkamah turut membenarkan permohonan memindahkan kes itu untuk dibicarakan di hadapan Mohd Nasir dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Mei depan.
Go to News Site