Collector
Diabetes, hipertensi punca kos kesihatan meningkat - Pakar | Collector
Diabetes, hipertensi punca kos kesihatan meningkat - Pakar
Sinar Harian

Diabetes, hipertensi punca kos kesihatan meningkat - Pakar

SHAH ALAM - Peningkatan penyakit kronik atau penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan hipertensi dikenal pasti sebagai antara punca utama lonjakan kos kesihatan di Malaysia yang memberi kesan terus kepada rakyat serta sistem kesihatan negara.Pakar pediatrik, Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi berkata, berdasarkan dapatan National Health and Morbidity Survey (NHMS), hampir 18.3 peratus rakyat dewasa menghidap diabetes, manakala sekitar 30 peratus menghidap hipertensi.Menurutnya, penyakit berkenaan memerlukan rawatan sepanjang hayat, pemantauan berkala dan penggunaan ubat secara berterusan."Lebih membimbangkan, komplikasi seperti kegagalan buah pinggang yang memerlukan dialisis boleh menelan kos antara RM30,000 hingga RM50,000 setahun bagi seorang pesakit."Tekanan terhadap sistem kesihatan turut meningkat apabila Malaysia kini menuju ke arah negara menua dengan jangka hayat sekitar 75 tahun."Semakin ramai rakyat hidup lebih lama, namun sering berdepan pelbagai penyakit kronik serentak," katanya kepada Sinar Harian.Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar SALAM Senawang berkata, dari sudut ekonomi, peningkatan kos kesihatan dipacu oleh inflasi perubatan, kebergantungan kepada import ubat-ubatan dan peralatan perubatan.Selain itu, katanya, kelemahan nilai mata wang dan gangguan rantaian bekalan global akibat konflik geopolitik turut memberi kesan."Penggunaan teknologi perubatan canggih seperti Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan), Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan rawatan berteknologi tinggi meningkatkan keberkesanan rawatan."Tetapi, ia memerlukan kos pelaburan dan penyelenggaraan tinggi, selain kenaikan harga ubat bagi rawatan penyakit kronik serta penyakit kompleks, sekali gus memberi kesan langsung kepada perbelanjaan kesihatan," katanya.Jelas beliau, dari perspektif dasar, sistem kesihatan negara berdepan cabaran bagi memastikan kelestarian pembiayaan kerana kerajaan menanggung sebahagian besar kos rawatan melalui subsidi terutama di fasiliti kesihatan awam.Menurutnya, majoriti rakyat Malaysia masih bergantung kepada hospital dan klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan."Keadaan ini mengakibatkan kesesakan fasiliti, tempoh menunggu lebih panjang dan tekanan kepada tenaga kerja kesihatan."Tanpa intervensi menyeluruh termasuk pencegahan penyakit, perubahan gaya hidup sihat dan pengurusan penyakit kronik yang lebih berkesan serta pembaharuan dalam sistem pembiayaan kesihatan, beban tersebut dijangka terus meningkat," katanya.

Go to News Site