Sinar Harian
KLANG – Polis menahan 11 pemandu termasuk seorang wanita atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol di sini baru-baru ini.Op Mabuk itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan 1 hingga Ahad lepas.Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, operasi ini dilaksanakan secara berfokus bagi mengesan, mencegah serta mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.Menurutnya, kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000, penjara tidak melebihi dua tahun dan hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun."Bagi kesalahan berulang, pesalah boleh dikenakan denda RM20,000 hingga RM50,000, penjara tidak melebihi lima tahun serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Beliau berkata, Op Mabuk ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, khususnya di kawasan pentadbiran IPD Klang Selatan susulan kejadian kemalangan maut yang berlaku baru-baru ini.Tambahnya, pihak polis menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan secara berterusan dan tanpa kompromi bagi membendung kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemanduan di bawah pengaruh alkohol.Tegasnya, orang ramai diingatkan supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah."Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang, selaras dengan peruntukan yang berkuat kuasa," ujarnya.Dalam kejadian 29 Mac lalu, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta Honda City dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, di sini, kira-kira jam 11.40 pagi.Rempuhan itu menyebabkan mangsa, Amirul Hafiz Omar, 33 tercampak di atas sebuah kereta lain sebelum disahkan maut di lokasi kejadian.Pada 1 April, pemandu terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang bagi pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.Tertuduh, R Saktygaanapathy, 28, juga didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Go to News Site