Sinar Harian
TASEK GELUGOR – Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pemerhati dalam pertumbuhan pesat industri halal global yang diunjurkan mencecah nilai kira-kira AS$5 trilion menjelang 2030, sebaliknya perlu tampil sebagai peneraju utama dalam sektor berkenaan.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata negara mesti berada di barisan hadapan bukan sahaja sebagai peneraju pensijilan halal, malah sebagai kuasa besar dalam pengeluaran, inovasi dan perdagangan halal dunia.Menurutnya, Malaysia ketika ini telah diiktiraf sebagai antara peneraju industri halal global dengan sistem pensijilan yang diyakini di hampir 50 negara serta kedudukan teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama bertahun-tahun."Namun, potensi sebenar kita jauh lebih besar daripada apa yang telah kita capai."Industri halal bukan sahaja membuka ruang pertumbuhan ekonomi domestik, malah menjadi pintu masuk Malaysia ke pasaran global yang lebih luas merentasi Asia, Timur Tengah dan Eropah," katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri Perda Halal Park di Perda Food Park, Kubang Menerong, di sini pada Selasa.Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, permintaan global terhadap produk halal terus meningkat dengan pesat, namun penawaran masih jauh ketinggalan dengan jurang dianggarkan mencecah kira-kira 80 peratus."Jurang ini bukan satu kelemahan, tetapi satu peluang besar untuk Malaysia, khususnya usahawan Bumiputera, mengambil peranan lebih besar dalam rantaian bekalan halal global," ujarnya.Menurutnya, menjelang 2030, pasaran halal global dijangka mencecah AS$5 trilion, manakala pasaran domestik pula dianggarkan bernilai AS$113.3 bilion, sekali gus menjadikan sektor itu antara pemacu utama ekonomi negara.Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata nilai eksport halal Malaysia pada tahun 2024 telah mencecah RM61.79 bilion, dengan produk tempatan berjaya menembusi pasaran utama termasuk China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat dan Indonesia."Sektor makanan dan minuman kekal sebagai penyumbang terbesar dengan nilai melebihi RM34.03 bilion, diikuti sektor ramuan halal yang semakin berkembang."Ini membuktikan produk halal Malaysia bukan sahaja diyakini, tetapi juga mempunyai nilai komersial yang tinggi di pasaran global," katanya.Ahmad Zahid turut mengakui Malaysia memiliki kekuatan tersendiri hasil pengalaman lebih empat dekad dalam industri halal, khususnya dari segi integriti sistem pensijilan yang diiktiraf di seluruh dunia.Mengulas mengenai inisiatif berkaitan pembangunan industri halal, beliau berkata Perda Halal Park merupakan antara langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem ekonomi Bumiputera.Tambah beliau, pembangunan Perda Halal Park merupakan langkah tepat dan selari dengan aspirasi untuk melahirkan masyarakat luar bandar yang mandiri, berdaya saing serta mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Go to News Site