Collector
Penulisan popular perluas capaian ilmu hasil penyelidikan | Collector
Penulisan popular perluas capaian ilmu hasil penyelidikan
Sinar Harian

Penulisan popular perluas capaian ilmu hasil penyelidikan

BANGI – Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil langkah proaktif memperkukuh budaya penyampaian ilmu kepada masyarakat menerusi penganjuran Bengkel Penulisan Artikel Popular di bawah inisiatif projek penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Harwati Hashim.Program itu bukan sekadar menjadi platform perkongsian ilmu, malah bertindak sebagai pemangkin kepada pensyarah dan staf untuk menterjemahkan hasil penyelidikan ke dalam bentuk penulisan yang lebih mudah difahami oleh masyarakat umum.Dalam landskap akademik masa kini, penulisan artikel popular dilihat semakin penting sebagai jambatan antara dunia penyelidikan dan masyarakat. Hasil kajian yang bernilai tidak seharusnya terperap dalam jurnal semata-mata, sebaliknya perlu disampaikan secara inklusif agar manfaatnya dapat dirasai pelbagai lapisan.Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Prof. Dr. Mohd Mahzan Awang berkata, usaha memperkasakan penulisan artikel popular dalam kalangan ahli akademik merupakan satu keperluan strategik masa kini.Menurutnya, bengkel seumpama itu mampu membantu penyelidik menterjemahkan dapatan kajian kepada bentuk yang lebih mudah difahami serta memberi impak kepada masyarakat."Penulis ialah pemikir; tulis apa yang difikirkan, bukan sekadar memikirkan apa yang ingin ditulis."Setiap hari kita ‘menulis’ dalam fikiran dan keunikan itu perlu diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Advokasi media harus berasaskan ilmu dan penyebaran ilmu adalah satu ibadat."Melalui penulisan popular, idea dapat dikongsi kepada pelbagai lapisan pembaca dan kepelbagaian medium menjadi kekuatan untuk memperluaskan capaian ilmu," katanya.Beliau turut berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan dengan penglibatan lebih meluas termasuk kerjasama bersama media dan pihak industri.Katanya, penulisan artikel popular bukan sahaja medium penyampaian ilmu, tetapi juga tanggungjawab sosial akademik dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat berilmu.Bengkel berkenaan dikendalikan Editor dan Penulis Bebas, Rosli Mohd Nordin yang memberi pendedahan menyeluruh mengenai teknik menghasilkan artikel popular berkesan.Antara fokus utama ialah membantu peserta memahami perbezaan penulisan akademik dan popular, menguasai teknik menghasilkan tajuk menarik serta membina struktur penulisan yang jelas, padat dan berimpak tinggi.Rosli berkata, penulisan artikel popular menuntut keupayaan menyampaikan idea kompleks dalam bentuk jelas, menarik dan dekat dengan pembaca."Artikel yang terlalu akademik menyebabkan khalayak umum dan editor media sukar memahami isi kandungan."Penulisan perlu lebih santai tanpa mengabaikan aspek ilmiah dan ketepatan fakta," jelasnya.Sepanjang bengkel, peserta turut didedahkan dengan pelbagai strategi praktikal termasuk teknik ‘hook’, penggunaan contoh relevan serta pembinaan aliran penulisan yang lancar.Mereka juga berpeluang menjalani latihan secara hands-on dengan menghasilkan draf artikel sendiri sebelum dibincangkan secara konstruktif.Sementara itu, Prof. Madya Dr. Harwati yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Pendidikan UKM menegaskan, inisiatif tersebut merupakan usaha berterusan fakulti dalam memperkasa impak penyelidikan."Sebagai ahli akademik, kita bukan sahaja bertanggungjawab menghasilkan ilmu, tetapi memastikan ilmu itu sampai kepada masyarakat dengan cara bermakna."Usaha ini selari dengan aspirasi universiti untuk meningkatkan keterlihatan dan keberhasilan penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.Maklum balas peserta menunjukkan bengkel tersebut memberi impak signifikan terhadap kefahaman dan keyakinan mereka dalam menghasilkan penulisan popular.Prof. Madya Dr. Khairul Azhar Jamaludin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Pendidikan UKM berkata, bengkel itu penting bagi memastikan ahli akademik tidak ‘syok sendiri’ ketika menulis untuk khalayak umum."Program ini membantu menghasilkan penulisan berimpak tinggi yang lebih fokus dan strategik, khususnya dalam menyampaikan mesej kepada khalayak lebih luas."Laras bahasa yang baik mampu mengangkat ilmu daripada setiap bidang akademik di universiti," ujarnya.Ketua Pentadbiran Fakulti Pendidikan UKM, Rosnani Boyak pula menyifatkan bengkel tersebut membuka ruang pembelajaran baharu kepada peserta."Kami didedahkan teknik penulisan menarik termasuk menghasilkan tajuk ‘catchy’ dan struktur penulisan lebih tersusun, khususnya bagi isu pendidikan dan semasa," katanya.Secara keseluruhan, bengkel itu berjaya mencapai objektif dalam memperkasakan kemahiran penulisan artikel popular dalam kalangan warga Fakulti Pendidikan UKM, sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan ilmu tidak terhenti di ruang akademik, sebaliknya dikongsi dan dimanfaatkan masyarakat secara meluas.

Go to News Site