Sinar Harian
TASEK GELUGOR – Ketidaktentuan global susulan konflik geopolitik, khususnya di Timur Tengah yang melibatkan laluan strategik seperti Selat Hormuz, kini memberi tekanan besar kepada rantaian bekalan industri halal dunia.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata situasi tersebut bukan sahaja menjejaskan sektor tenaga, malah turut mencetuskan kesan domino kepada industri halal termasuk peningkatan kos logistik, kelewatan penghantaran serta ketidaktentuan akses pasaran.Menurutnya, produk halal terutama makanan segar dan barangan bersuhu terkawal amat bergantung kepada kecekapan rantaian bekalan global yang stabil."Dalam dunia yang semakin tidak menentu hari ini, industri halal global bukan lagi hanya berdepan cabaran pasaran, tetapi turut terkesan secara langsung oleh perkembangan geopolitik antarabangsa."Gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz memberi kesan besar kepada rantaian bekalan global, sekali gus memberi tekanan kepada industri halal," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri Perda Halal Park di Perda Food Park, Kubang Menerong, di sini pada Selasa.Tambah beliau, kenaikan harga tenaga dan bahan mentah turut meningkatkan kos pengeluaran, dengan ada sektor menyaksikan baja menyumbang sehingga 60 peratus daripada kos, sekali gus memberi kesan kepada keseluruhan rantaian nilai makanan halal.Namun, beliau menegaskan bahawa di sebalik cabaran tersebut, Malaysia mempunyai peluang untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab halal global yang stabil dan dipercayai."Ketidaktentuan global ini sebenarnya membuka ruang untuk Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai hab halal yang berdaya tahan."Keupayaan kita mempelbagaikan pasaran eksport, mengukuhkan rantaian bekalan domestik serta meningkatkan kecekapan logistik akan menjadi faktor penentu dalam memastikan industri halal negara terus berkembang," ujarnya lagi.Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata sudah tiba masanya negara beralih daripada kebergantungan kepada sistem global kepada pembinaan kekuatan dalaman yang lebih tersusun dan mampan.Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan turut memberi tumpuan kepada transformasi keusahawanan luar bandar melalui usaha mengindustrikan perusahaan dengan penyediaan infrastruktur yang kondusif.Menurutnya, pemerkasaan modal insan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang selari dengan keperluan industri halal moden juga akan diperkukuh."Kita mahu anak-anak luar bandar bukan sekadar menjadi pekerja am, tetapi muncul sebagai pakar teknologi pemprosesan makanan, juruaudit halal dan juruteknik mesin industri."Ini penting bagi melahirkan tenaga kerja mahir serta usahawan masa hadapan yang mampu memacu industri halal negara," katanya.
Go to News Site