Collector
Tiga kontena sirip ikan yu bernilai RM8.2 juta tanpa permit dirampas | Collector
Tiga kontena sirip ikan yu bernilai RM8.2 juta tanpa permit dirampas
Sinar Harian

Tiga kontena sirip ikan yu bernilai RM8.2 juta tanpa permit dirampas

PELABUHAN KLANG – Cubaan membawa masuk sirip ikan yu kering bernilai RM8.2 juta, dipercayai untuk diedarkan ke restoran mewah di negara ini, terbongkar selepas penahanan tiga kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara di sini baru-baru ini.Rampasan tersebut dibuat menerusi Op Petasan di Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 12 Februari, 2 Mac dan 9 Mac lalu selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan kemasukan sirip ikan yu yang tidak memiliki permit import sah.Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, tiga kontena dagangan terbabit berasal dari sebuah negara di benua Amerika Selatan.Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan 35,660 kilogram (kg) sirip ikan yu kering yang dipercayai diimport tanpa permit sah."Siasatan awal mendapati harga sekilogram sirip ikan yu kering dianggarkan RM2,000 dan dipercayai untuk pasaran tempatan terutama bagi restoran mewah," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.Beliau berkata, siasatan juga mendapati barangan itu dipercayai dibawa masuk oleh pengimport yang sama.Tambahnya, penghantaran tersebut dikesan tiba di Pelabuhan Klang pada 3 dan 19 Februari serta 7 Mac lalu."Modus operandinya adalah membuat ikrar dagangan palsu sebagai kulit ikan kering dan bahan makanan kering bagi mengelak dikesan JKDM," ujarnya.Jelasnya, nilai dagangan tersebut berjumlah RM7.1 juta, manakala duti atau cukai terlibat dianggarkan RM1.1 juta.Tegasnya, pengimportan sirip ikan yu kering tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Konvensyen Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Go to News Site