Sinar Harian
BANGI – Kerajaan tidak boleh terus menanggung beban subsidi secara keseluruhan kerana langkah itu memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal negara, kata Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Professor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.Beliau berkata, dalam situasi krisis ekonomi global ketika ini, pendekatan mengekalkan subsidi secara menyeluruh bukan lagi pilihan mampan memandangkan keupayaan kewangan kerajaan mempunyai had tertentu.Menurutnya, anggaran semasa menunjukkan subsidi petrol sahaja boleh mencecah sekitar RM4 bilion sebulan atau RM48 bilion setahun, sekali gus berpotensi menjejaskan peruntukan kepada sektor penting lain."Kerajaan tidak serap (susidi) 'pada langit'. Ada had keupayaan untuk menyerap. Apabila terlalu banyak diserap, ia akan menjejaskan perkara lain," katanya dalam forum Krisis Asia Barat: Implikasi Ekonomi, Apa Langkah Malaysia? di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Selasa.Mengulas lanjut, beliau menjelaskan perbelanjaan besar terhadap subsidi boleh menyebabkan projek pembangunan seperti pembinaan hospital, sekolah dan universiti terpaksa ditangguhkan.Sehubungan itu, Noor Azlan menegaskan bahawa beban kenaikan kos tidak seharusnya dipikul oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu diagihkan secara lebih seimbang melibatkan isi rumah serta sektor perniagaan.Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan kelestarian ekonomi dalam jangka panjang tanpa menjejaskan kestabilan fiskal negara.Dalam masa sama, beliau berpandangan mekanisme subsidi bersasar sedia ada masih belum benar-benar menepati objektif kerana kriteria yang digunakan terlalu umum.Menurutnya, penggunaan istilah "bersasar" kurang tepat sekiranya penentuan hanya dibuat berdasarkan kategori warganegara berbanding bukan warganegara."Perkataan ‘targeted’ itu sendiri tidak begitu tepat jika kriteria hanya berdasarkan warganegara atau bukan. Sepatutnya berdasarkan pendapatan," jelasnya.Beliau mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan pangkalan data sedia ada seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), bantuan Budi Madani (BUDI) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memperkemas sistem penyaluran subsidi supaya lebih tertumpu kepada golongan yang benar-benar memerlukan.Tambahnya, krisis semasa juga perlu dilihat sebagai peluang untuk melakukan pembaharuan dasar termasuk meningkatkan kecekapan pengurusan fiskal negara.Pada masa sama, Noor Azlan menekankan keperluan perubahan tingkah laku dalam kalangan rakyat agar lebih bersedia menyesuaikan diri dengan realiti ekonomi semasa.Menurutnya, penyesuaian tersebut termasuk dalam aspek penggunaan tenaga dan corak perbelanjaan harian yang lebih berhemat.Beliau turut mengingatkan bahawa komunikasi dasar oleh kerajaan perlu lebih telus dan realistik supaya rakyat memahami cabaran sebenar yang dihadapi negara."Saya fikir kita perlu hadapi perkara ini dengan lebih terbuka. Bukan sekadar positif, tetapi juga bersedia dengan kemungkinan yang tidak baik," katanya.
Go to News Site