Sinar Harian
IPOH – Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditetak dalam satu kejadian pergaduhan di Buntong di sini pada Isnin.Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, mangsa berusia 25 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di tengah jalan dengan kecederaan parah akibat diserang menggunakan senjata tajam.Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu berada di sebuah premis sewa kereta bersama rakan-rakannya sebelum didatangi sekumpulan suspek yang bertindak menyerang menggunakan parang."Polis enerima maklumat awal berhubung kejadian pergaduhan itu sebelum sepasukan polis digerakkan ke lokasi."Tiba di lokasi, mangsa ditemui terbaring di tengah jalan dalam keadaan parah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.Beliau berkata, beberapa rakan mangsa turut mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh."Berdasarkan maklumat diterima, mangsa tidak bekerja dan sering membantu di premis kereta sewa berkenaan," katanya.Susulan kejadian itu, Muhammad Najib berkata, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis kereta sewa itu bagi membantu siasatan.Katanya, suspek telah direman untuk siasatan lanjut dan usaha mengesan serta menangkap suspek lain masih giat dijalankan."Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 326 dan 148 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan parah serta merusuh," katanya.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Go to News Site