Collector
Perang Asia Barat: Tiada kemelesetan tahun ini, risiko besar ekonomi dijangka memuncak 2027 | Collector
Perang Asia Barat: Tiada kemelesetan tahun ini, risiko besar ekonomi dijangka memuncak 2027
Sinar Harian

Perang Asia Barat: Tiada kemelesetan tahun ini, risiko besar ekonomi dijangka memuncak 2027

BANGI – Malaysia dijangka tidak berdepan kemelesetan ekonomi dalam tempoh terdekat meskipun krisis Asia Barat semakin memuncak, namun risiko sebenar berpotensi muncul pada tahun 2027.Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group, Firdaos Rosli berkata, berdasarkan penilaian semasa, ekonomi global termasuk Malaysia masih mampu bertahan pada tahun ini walaupun berdepan tekanan luaran yang semakin meningkat.Menurutnya, setakat ini tiada petunjuk jelas ke arah kemelesetan dalam masa terdekat walaupun konflik geopolitik memberi kesan ketara kepada harga komoditi dan rantaian bekalan dunia."Setakat ini kita boleh rumuskan bahawa tiada kemelesetan yang bakal berlaku, kita tidak melihat kemelesetan pada tahun ini walaupun sekeras mana krisis ini berlaku," katanya dalam forum Krisis Asia Barat: Implikasi Ekonomi, Apa Langkah Malaysia? di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Selasa.Bagaimanapun jelas beliau, tekanan sebenar dijangka berlaku secara berperingkat apabila kesan krisis tersebut mula merebak ke dalam ekonomi global."Kemungkinan lebih besar ia akan merebak ke tahun depan dan ketika itu cerita lain akan berlaku disebabkan kesan yang terkumpul," ujarnya.Tambah beliau, antara risiko utama yang perlu diberi perhatian ialah penurunan kadar pertumbuhan ekonomi yang dijangka berlaku sekiranya konflik berlanjutan dalam tempoh lebih lama.Katanya, tempoh peperangan menjadi faktor kritikal dalam menentukan tahap impak terhadap ekonomi, khususnya dari sudut kestabilan pertumbuhan."Risiko penurunan adalah kepada pertumbuhan, di mana pertumbuhan mungkin akan menurun sedikit dan ini banyak bergantung kepada risiko tempoh atau berapa lama peperangan ini akan berlaku," katanya.Dalam masa sama, beliau turut memberi amaran bahawa tekanan inflasi dan kadar pengangguran berpotensi meningkat sekiranya keadaan global terus tidak menentu.Menurutnya, kenaikan harga tenaga dan gangguan bekalan akan memberi kesan berantai kepada pelbagai sektor termasuk makanan dan pengangkutan.Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa kesan krisis tidak berlaku secara serta-merta seperti pandemik Covid-19, sebaliknya lebih kompleks dan berpanjangan.Katanya, berbeza dengan pandemik yang menyaksikan permintaan dan penawaran kembali seimbang selepas sekatan ditamatkan, konflik semasa dijangka meninggalkan kesan lebih lama terhadap bekalan tenaga global."Kalau peperangan ini berakhir esok sekali pun, bekalan minyak masih lagi terganggu kerana banyak kemudahan penapisan minyak terjejas dan memerlukan masa untuk pulih," katanya.Beliau berkata, keadaan tersebut menunjukkan pemulihan ekonomi global bukan sahaja bergantung kepada tamatnya konflik, malah kepada keupayaan sistem bekalan untuk kembali beroperasi seperti biasa.Dalam tempoh terdekat, beliau turut menggariskan tiga saluran utama yang boleh menjadi pemangkin kepada tekanan ekonomi negara sekiranya krisis berterusan.Jelasnya, saluran pertama ialah kejutan eksport, khususnya apabila eksport bukan elektrik dan elektronik telah menunjukkan tanda kelembapan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.Menurut beliau, sekiranya konflik turut menjejaskan sektor elektrik dan elektronik, ia boleh memberi kesan lebih besar kepada prestasi perdagangan negara.Saluran kedua pula ialah inflasi, terutama melibatkan sektor makanan dan minuman yang sensitif kepada gangguan bekalan global."Inflasi mungkin akan meresap dalam makanan dan minuman, dan ini bergantung juga kepada peranan subsidi serta bekalan sebenar di pasaran," katanya.Tambah Firdaos, saluran ketiga melibatkan pasaran kewangan yang berpotensi menjadi lebih tidak menentu, sekali gus memberi tekanan kepada sektor perbankan dan perusahaan kecil dan sederhana.Mengulas lanjut, beliau berkata unjuran ekonomi ketika ini turut dipengaruhi oleh prestasi kukuh tahun lalu yang mungkin menyebabkan penilaian semasa dilihat lebih optimistik.Katanya, banyak jangkaan dibuat berdasarkan data enam hingga 12 bulan lalu yang menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan, sedangkan situasi semasa telah berubah dengan ketara."Seolah-olah kita masih melihat kepada prestasi lalu yang baik tetapi kini kita berdepan tekanan baharu yang lebih mencabar," jelasnya.Justeru, beliau menegaskan bahawa sebarang unjuran ekonomi pada masa ini perlu mengambil kira pelbagai senario termasuk kemungkinan konflik berpanjangan.Menurutnya, perbezaan antara senario jangka pendek dan jangka panjang adalah ketara, sekali gus menyukarkan ramalan yang tepat."Senario tiga bulan dan enam bulan memberikan gambaran yang sangat berbeza, dan ini menjadikan penilaian ekonomi ketika ini lebih mencabar," katanya.

Go to News Site