Sinar Harian
SUBANG - Paras air di beberapa empangan di wilayah utara Semenanjung mencatatkan sedikit peningkatan susulan kejayaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang bermula sejak Isnin.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini paras air di empangan terlibat merekodkan kini peningkatan berbanding sebelum ini."Kejayaan OPA semalam (Isnin), paras air mencatakan peningkatan 0.01 meter di Empangan Timah Tasoh (Perlis) dan Empangan Pedu (Kedah)," katanya dalam sidang akhbar di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada Selasa.Ahmad Zahid berkata, manakala kawasan lain masih belum mencatatkan sebarang perubahan, operasi bersambung hari ini yang akan dilakukan di Perlis dan Kedah."Ini kerana hasil kajian mendapati, tahap kepanasan di kawasan tersebut luar biasa jadi kita tumpukan supaya hujan turun bagi kegunaan domestik, industri dan pertanian," katanya.Pada Isnin, operasi melibatkan kawasan Empangan Muda, Pedu dan Ahning serta Empangan Timah Tasoh dengan penggunaan pesawat C130-Hercules milik TUDM.Pelaksanaan operasi bermula pada jam 2.40 petang di kawasan Muda, Pedu dan Ahning sebelum diteruskan ke kawasan Timah Tasoh pada jam 3.25 petang.Berdasarkan cerapan radar cuaca, hujan mula turun sekitar jam 3.30 petang di kawasan Empangan Muda sebelum menjadi lebih meluas dan berterusan meliputi semua kawasan sasaran di Kedah dan Perlis antara jam 6 petang hingga 8 malam.Liputan hujan turut merangkumi kawasan tadahan utama empangan yang terlibat, taburan hujan di Perlis direkodkan antara 29.8 milimeter hingga 34.7 milimeter dalam tempoh sejam antara jam 7 hingga 8 malam, manakala di Kedah pula antara 9.3 milimeter hingga 30.9 milimeter dalam tempoh sama.Operasi tersebut disifatkan berjaya apabila hujan dihasilkan di semua kawasan sasaran, sekali gus menunjukkan keberkesanan pelaksanaan dalam keadaan atmosfera yang sesuai.
Go to News Site