Sinar Harian
KUDAT - Tindakan seorang lelaki menyimpan 400 liter diesel untuk kegunaan sendiri membawa padah apabila stor tempat penyimpanan bahan api itu diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat di kawasan Jalan Airport Kudat di sini pada Selasa.Dalam kejadian tersebut, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut berhubung penyimpanan diesel sebagai kegunaan persendirian secara tidak sah.Ketua Pegawai Penguat Kuasa KDPN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, serbuan dibuat menerusi Ops Tiris 4.0 yang sedang dilaksanakan di daerah itu."Anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Kudat dalam tugasan harian telah menyerbu sebuah stor simpanan di kawasan tersebut sebelum menemui dua tong yang mengandungi 400 liter diesel."Pemeriksaan lanjut, diesel tersebut disimpan di stor tersebut tanpa kebenaran untuk kegunaan sendiri. Seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik stor turut ditahan untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Katanya lagi, kes tersebut disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu kesalahan berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran yang sah.Tambah Nazatul Shima lagi, Ops Tiris 4.0 merupakan sebahagian tindakan susulan kepada Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) yang digerakkan KPDN."Operasi ini memberi fokus kepada usaha menangani ketirisan barang kawalan di pasaran."Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan lebih agresif."Terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api termasuklah di daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas serta Pulau Banggi," katanya.
Go to News Site