Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa menahan empat individu termasuk dua pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di utara tanah air kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM5 juta.Tangkapan itu yang dilakukan di pejabat SPRM Perak antara 2 hingga 5 petang, turut membabitkan seorang pegawai syarikat minyak dan seorang pengarah syarikat kejuruteraan berusia lingkungan 40-an.Sumber memaklumkan wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu beberapa syarikat mendapatkan projek penyelidikan dan membabitkan penyelewengan dana penyelidikan IPTS berkenaan."Siasatan awal mendapati kegiatan ini dilakukan antara tahun 2019 hingga 2025... pegawai dan pengarah syarikat tersebut dipercayai bertindak sebagai proksi kepada kedua-dua pensyarah itu untuk menerima wang berkenaan."Kesemua suspek dipercayai bersubahat manakala kedua-dua pensyarah didakwa menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadi masing-masing," katanya kepada Bernama.Susulan penahanan itu, SPRM membekukan 70 akaun bank yang mempunyai baki keseluruhan berjumlah kira-kira RM8.5 juta dan menyita tujuh kenderaan bagi membantu siasatan lanjut.Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009."Kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok bagi permohonan reman," katanya. - Bernama
Go to News Site